Isteri tabligh luah perasaan, abai nafkahnya masa keluar dakwah, kahwin lain. Bukan lagi khayalan, kisah suami meninggalkan isteri sendiri kerana mengikuti tabligh sememangnya betul-betul berlaku dalam dunia nyata.
Perkongsian peguam syarie, Nurul Atikah Abd Rashid berkata, dia pernah menerima aduan mengenai masalah isteri diabaikan walaupun suami seorang yang nampak alim.
“Ada juga saya dapat aduan sebegini daripada para isteri. Suami memang alim baik siap ikut tabligh untuk berdakwah katanya, tapi anak isteri di rumah diabaikan.
“Nafkah tak diberi itu memang benda biasa bagi mereka. Tabligh keluar berbulan-bulan tetapi duit belanja tidak ditinggalkan untuk anak dan isteri. Isteri terpaksa berfikir bagaimana nak cari duit untuk makan,” jelas Nurul Atikah di laman Facebooknya hari ini.
Tambahnya, ada golongan isteri yang terpaksa meminjam dengan kawan, ada juga yang terpaksa minta tolong emak ayah dan keluarga sendiri.
“Malu memang malu, suami pakai kopiah, pakai serban tapi orang tahu tak bagi nafkah. Ada juga yang mengadu bila benarkan suami berdakwah berbulan-bulan, rupa-rupanya dah berkahwin lagi satu di sana.
“Kecewanya hati si isteri bila dapat tahu suaminya bukan setakat berdakwah tetapi rupanya turut mencuci mata dengan perempuan lain. Kadang-kadang niat itu mungkin baik, tetapi cara itu yang tak betul,” ujarnya.
Katanya lagi, mahu berdakwah tiada salahnya, malah memang dianjurkan dalam Islam, namun tanggungjawab utama pada amanah yang diberi Allah iaitu isteri dan anak jangan diabaikan.
“Berdakwah macam mana sekali pun, syurga itu tetap jauh bila gagal jalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami yang baik,” katanya.
BACA:
Tak bayar RM720K, Mawar Karim berjaya ketepikan penghakiman ingkar Nabil
Wow! Perodua Alza 2022 diiktiraf terima 5 bintang ASEAN NCAP