Seorang lelaki merasa tertekan apabila mengetahui perangai sebenar isteri selepas beberapa tahun menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ).
Indah khabar dari rupa, lelaki berkenaan langsung tidak menyangka bahawa wanita berpurdah yang dinikahinya itu rupanya seorang isteri yang tidak bertanggungjawab.
Pernah terfikir untuk mangambil jalan perpisahan, lelaki berkenaan bagaimanapun merasa khuatir sekiranya hak penjagaan anak-anak jatuh ke tangan isterinya.
Mahu meminta pendapat, berikut perkongsian lelaki bergelar suami yang memerlukan bantuan untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya.
“Saya berkenalan dengan isteri atas dasar perniagaan (dropship dari China). Saya memang tiada perasaan langsung terhadap dia. Setelah empat bulan uruskan bisnes dan berhubung di atas talian, isteri luahkan perasaan cinta. Saya tak pernah bercinta, rasa gembira mulanya. Kemudian saya mula rasa serba salah.
“Saya takut nak menolak cinta isteri. Saya anggap dia sebagai kawan atau kakak sahaja. Dipendekkan cerita, saya terima isteri atas dasar kesian. Selepas enam bulan berhubung (melalui aplikasi Skype), kami berkahwin di Masjid di Terengganu. Akad nikah sahaja kerana dia anak yatim piatu. Ada satu abang dan tiga kakak.
“Semua persiapan nikah, isteri uruskan melalui Whatsapp atau telefon sahaja. Ketika hari nikah itulah, kali pertama saya berjumpa dengan isteri. Saya terkejut bila dia buka purdah. Ada rupa, tetapi bukanlah terlalu cantik. Tetapi saya terima sebab diri sendiri pun bukannya kacak sangat.
“Selepas menikah, saya luangkan cuti musim panas selama dua minggu di Malaysia. Berbulan madu sebelum pulang ke Mesir. Setengah tahun lagi masa untuk habiskan belajar. Kami teruskan berhubung melalui Whatsapp dan Skype. Isteri dapat kerja sebagai eksekutif di sebuah bank terkemuka Malaysia. Aku tumpang gembira.
“Tiga bulan berkahwin iaitu selepas dua minggu isteri bekerja, dia keguguran anak pertama. Sejak itu mulanya kehidupan teruk bagi saya. Isteri mula maki hamun saya. Cakap saya tiada di Malaysia untuk bantu dia berpantang. Isteri kata dia gugur sebab tertekan suami jauh. Maki hamun, merajuk, gaduh. Siap minta cerai berkali-kali.
“Hal ini berterusan sehingga saya tamat belajar dan pulang ke Malaysia. Kami duduk serumah. Dia masih bekerja di bank, saya dapat posting pegawai perubatan latihan di hospital di ibu kota. Ketika ini baru saya tahu isteri ini sangatlah indah khabar dari rupa. Dia suka maki hamun dan sepak terajang saya apabila sedang marah.
“Rumah pula tak pernah kemas, boros (suka belanja besar). Harga tudung dan jubah sahaja cecah RM500 untuk sepasang. Tetapi sekarang dia bukak purdah atas polisi syarikat, sebab selalu jumpa pelanggan. Saya tidak kisah. Isteri juga tak pernah masak dan tak hormat ibu bapa saya.
“Di kampung pun berani dia tinggikan suara dan kuis saya gunakan kaki di rumah keluarga saya. Pernah juga saya menangis depan isteri bila bergaduh. Saya mengadu penat dengan kerja dan kerenah dia. Tetapi bagi dia semua tak kena dengan saya, sampai gigi saya pun jadi isu.
“Isteri hina gigi saya jonggng, pakai braces. Dia hina saya selekeh dan busuk (sebab kerja lebih 30 jam). Isteri juga tak pernah basuh atau gosokkan baju saya. Perlu buat sendiri atau hantar ke dobi. Baju isteri, dia hantar ke dobi semuanya, tetapi tak pernah hantar baju saya sekali. Dia siap asingkan bakul baju lagi.
“Cadar atau sarung bantal tak pernah bertukar, saya tukarkan. Rumah saya upahkan tukang cuci, setiap minggu dua kali datang. Dapur, hanya ada satu kuali, itu pun mak saya beri. Ada 2-3 pinggan dan cawan. Tak pernah berasap, saya teringin juga isteri masak. Sekurangnya makan simple atau buatkan air.
“Ini kopi atau gula pun tiada di rumah. Isteri? Minum air mineral, beli berkotak-kotak simpan di peti. Kalau saya minum air mineral isteri, dia mengungkit. Kadang-kadang saya terlupa beli air, terpaksa tadah air paip minum. Takut nak minum air dia. Gaji doktor pelatih, saya beri dia RM1,000. Bayar kereta dan bil tinggal RM500.
“Kemudian, kami dikurniakan seorang anak perempuan. Masa itu saya sudah jadi pegawai perubatan (MO). Dia pula habiskan master, sambung PHD. Ingatkan ada anak, makin berubah. Sama sahaja. Kalau saya oncall, dia hantar anak pada pengasuh dalam keadaan kotor. Tak mandikan, lampin penuh sampai pengasuh mengadu.
“Pengasuh pun kena maki dengan isteri. Asyik bertukar pengasuh hingga tiada siapa nak jaga anak kami. Isteri cadang hantar anak ke Umi saya di kampung. Saya berat hati, tetapi isteri? Suka, langsung tak peduli. Setiap hujung minggu, saya habiskan masa dengan anak saya. Bila berjauhan dengan isteri ini, hati makin tawar.
“Saya berjinak-jinak dengan aplikasi dating dan berkenalan dengan Anna. Aku mengaku bujang dan kami bercinta hampir dua tahun. Isteri? Langsung tak pedulikan saya. Kami hidup macam roommate sahaja. Anak tiada memang tak bertegur sapa. Kalau Whatsapp pun, apabila saya beri resit deposit duit.
“Sampailah saya nekad nak bercerai dengan isteri, dan kahwin dengan Anna. Ummi minta berterus terang dengan Anna dahulu tentang status saya. Anna minta saya pulang ke pangkuan isteri kerana dia takkan sesekali lukakan hati perempuan lain. Saya terus cerita segala keburukan isteri. Tetapi Anna suruh balik dan didik isteri.
“Balik rumah, terus beritahu isteri yang saya ada wanita lain. Dia hanya gelak dan tanya muka macam saya pun ada orang nak ke? Saya tunjuk bukti, kami bergaduh. Isteri dan janji akan berubah. Tetapi saya wajib tinggalkan Anna (tak perlu tinggal sebab Anna dan sekat nombor selepas tahu saya suami orang).
“Isteri berusaha jadi isteri dan ibu yang baik. Anak dah ambil semula dari kampung. Hubungan kami makin baik. Hal kewangan kami sudah mula berkongsi. Isteri belajar masak. Dia masuk kelas memasak, baking dan menari. Selepas setahun, isteri hamil anak kedua dan dia buat balik dah perangai lama.
“Anak sulung dia mula tak peduli lagi. Rumah tunggang-langgang. Hari-hari saya makan maki-hamun dia, duit sudah tak mahu berkongsi. Makan hati berulam jantung setiap hari. Saya dengan anak hari-hari makan di kedai atau drive-thru McDonalds. Isteri setiap masa dengan telefon. Pegi jumpa clients, atau jumpa kawan-kawan.
“Isteri pernah viral di Facebook sebab kongsi pasal kewangan. Jadi ramai pengikut. Di FB kemain macam hidup sempurna. Isteri beli rumah atas nama dia, tetapi saya bayar setiap bulan. Kereta dua biji, saya juga bayarkan. Suruh beli Axia, dia nak Honda CRV , saya pakai myvi sahaja.
“Disebabkan saya pernah curang, saya pun turutkan sahaja. Seolah-olah tebus dosa. Nak bersalin di hospital swasta, padahal saya doktor wad bersalin. Boleh saja bersalin di hospital kerajaan. Saya boleh minta kawan sekerja perempuan sambut. Tak nak katanya. Dia nak bersalin dalam keadaan ‘bercuti’ katanya.
“Saya terpaksa berhutang dengan kawan sekerja nak bayar bil bersalin. Ini ada baki RM5000 belum langsai hutang. Dia baru tiga minggu bersalin, boleh keluar pergi jumpa client dan tengok wayang. Tinggalkan dua anak penjaga pantang atau ‘confinement lady’. Katanya ada hal kecemasan nak keluar.
“Kakak penjaga itu diupah selama dua jam sahaja. Isteri cakap nak keluar sejam. Tetapi dari pukul 10 pagi keluar, pukul 1 tengah hari pun belum balik. Menangis kakak itu telefon, sebab bos marah tak pergi appointment orang lain. Saya terpaksa ambil cuti kecemasan sebab nak balik rumah jaga anak-anak.
“Saya cuba hubungi, tetapi dia matikan telefon. Rupanya jumpa client dan kawan-kawan. Selepas anak kedua ini keluar, saya memang nekad nak bercerai. Takkan nak curang lagi. Nanti lepas kantoi, sama juga situasinya. Berubah sekejap, kemudian jadi balik. Untuk para suami, apa patut saya buat? Kalau bercerai, confirm viral.
“Memang semua nampak salah saya kalau dia cerita di Facebook. Saya juga pernah curang. Jadi hak penjagaan anak-anak dapat ke saya atau dia? Tetapi dia tak pernah jaga anak-anak. Nak bercerai, Ummi dan Walid saya orang agama. Malu sekampung nanti kalau si isteri saya tularkan kes curang saya.
“Kalau ajak isteri pergi kaunseling, takut makan sepak terajang saya nanti. Tetapi saya sudah tak sanggup nak hidup dengan isteri macam ini. Asingkan tempat tidur? Sudah, lagi dia suka. Pukul dengan hujung kain? Saya kena balik nanti. Lapor polis? Isteri pula tak tendang, sepak terajang saya sampai lebam. Sebab dia perempuan.
“Dia sepak pun tak kuat, hanya tolak-tolak kepala dan tampar sahaja. Semua tiada bukti. Pening saya. Harap semua beri komen berhemah. Saya minta pendapat sahaja. Terima kasih.” Adu lelaki berkenaan menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio