Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan resolusi yang secara rasmi menuntut Israel
menamatkan pendudukan di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan dan akan dikenakan sekatan jika tidak mematuhi.
Resolusi yang tidak mengikat ini dibuat berdasarkan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)
yang menyatakan bahawa pendudukan sejak 1967 adalah ‘melanggar undang-undang.’
Ia diluluskan selepas pengundian mencatatkan 124 negara anggota PBB menyokong, 14 menentang, dan 43 berkecuali, dengan delegasi Palestin menganggap pencapaian ini sebagai ‘bersejarah.’
Amerika Syarikat (AS) mengundi menentang resolusi itu, bersama Hungary, Republik Czech, dan beberapa negara kepulauan kecil.
Sebelum ini, negara-negara Arab telah meminta diadakan sesi khas, beberapa hari sebelum pemimpin dunia berkumpul di ibu pejabat PBB untuk Perhimpunan Agung.
Resolusi ini, kali pertama diperkenalkan oleh delegasi Palestin berdasarkan hak baharu yang diperoleh tahun ini, menuntut Israel ‘menamatkan tanpa lengah kehadirannya yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki.’
Ia juga menuntut pengunduran Israel ‘dalam tempoh tidak lebih 12 bulan’ dari tarikh resolusi itu diterima. Draf sebelumnya memberikan tempoh enam bulan.
Resolusi ini juga menuntut pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin; menghentikan pembinaan penempatan baru; memulangkan tanah dan harta benda yang telah dirampas; serta kemungkinan kembalinya rakyat Palestin yang telah dipindahkan.
Selain itu, ia menggesa negara-negara untuk mengambil langkah menghentikan peruntukan senjata kepada Israel di mana terdapat ‘alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa ia mungkin digunakan di wilayah Palestin yang diduduki.’
“Ideanya adalah untuk menggunakan tekanan komuniti antarabangsa dalam Perhimpunan Agung dan juga tekanan daripada keputusan bersejarah oleh ICJ, untuk memaksa Israel mengubah tingkah laku.
“Rakyat Palestin mahu hidup – bukan ‘survive’. Mereka mahu selamat di dalam rumah sendiri,” kata Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, sebelum hari pengundian.
Kumpulan Hamas turut mengalu-alukan penerimaan resolusi ini, menyifatkannya sebagai mencerminkan solidariti komuniti antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Namun, Israel bertegas menolak resolusi berkenaan.
“Inilah rupa politik antarabangsa yang sinis,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, melalui X, sambil mendakwa keputusan ini sebagai terpisah daripada realiti, menggalakkan keganasan, dan menggugat peluang untuk keamanan.