Wanita hamil sering kali mengalami keinginan khusus terhadap makanan atau mengidam, termasuklah pelakon Datin Intan Najuwa.
Dalam hantaran di TikTok, Intan, atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, menyatakan bahawa dia mengidam untuk makan roti canai.
Namun, yang paling menarik perhatian adalah keinginannya untuk melihat proses penyediaan roti canai itu.
“Semalam saya teringin nak makan roti canai, tapi saya nak tengok ‘aney’ tu buat dan tebar roti depan saya,” kata Intan.
Suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, memenuhi permintaan Intan dengan meminta pekerja restoran tersebut untuk menebar roti canai di hadapan mereka.
“Kami pergi ke kedai mamak berhampiran rumah. Suami saya minta ‘aney’ itu tebar roti depan saya dan dia kata boleh.
Itulah drama orang mengandung, kita tak sangka, yang bukan-bukan je.”
Sementara itu, pelakon drama “Kekasih Paksa Rela” ini turut berkongsi bahawa dia kini mengalami peningkatan berat badan.
Sebelum ini, Intan memuat naik foto di Instagram bersama suaminya, dengan jelas kelihatan baby bump di perutnya, sekaligus mengumumkan tentang kehamilan mereka.
Sekadar info, Intan dan Azraf telah selamat mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos tahun lalu di sebuah resort mewah di Johor. Sejak berkahwin, Intan sering menjadi perhatian warganet kerana sering dimanjakan oleh Azraf.