Rambut pendek pelakon Datin Intan Najuwa disamakan dengan watak kartun popular Popeye, iaitu Olive Oyl, seperti yang didakwa oleh netizen baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di TikTok, Intan menjelaskan bahawa yang paling penting
adalah gaya rambut tersebut memenuhi cita rasa dan disukai suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman.
“Saya tak kisah jika dikatakan seperti teman wanita Popeye, teman wanita Shrek, atau sesiapa pun.
Yang penting, saya gembira tak kira rambut panjang atau pendek.
“Saya tak guna duit awak untuk gunting rambut, suami saya suka, itu sahaja. Saya tak perlu minta persetujuan daripada awak atau suami awak. Biarlah macam teman wanita Popeye sekalipun, asalkan saya bahagia, tenang, tak hati busuk, dan tiada hasad dengki,” katanya.
Intan berkata demikian selepas ada pengikut yang berpendapat dia tidak sesuai menggayakan potongan rambut pendek menerusi siaran langsung di TikTok.
Tambah pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, dia bahagia dengan kehidupan sekarang dan tidak pernah menyentuh hal peribadi individu lain.
“Kutuklah apa pun, Alhamdulillah, Allah beri saya ketenangan hati dan kebahagiaan hidup. Mungkin sebab saya tak pernah kacau orang, sebab itu Allah beri ganjaran kepada saya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Intan menasihatkan orang ramai agar mempelajari adab dengan lebih baik, terutamanya cara untuk mendekati individu yang tidak dikenali.
“Mungkin awak rasa benda tu bukan kutukan, tapi bagi saya, ia sensitif sebab awak tak kenal saya. Kena belajar lagi tentang adab, bagaimana nak mendekati orang yang tak dikenali,” tambahnya.
Sekadar info, Intan telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos lalu di sebuah resort di Desaru Coast.
BACA: ‘Kerana pemilik, badak binasa’ Badak air Pablo Escobar dijatuhi hukuman mati