Ada tak sesiapa yang suka dengan lipas? Atau yang tidak takut, dan rasa geli dengan lipas?
Kebanyakan orang rasa geli dan takut dengan serangga ini. Bagi mereka, tempat yang mempunyai lipas adalah tempat yang tidak bersih.
Selalunya, kita kalau nampak lipas, kita mesti nak bunuh, kan? Tapi, apa akan jadi kalau lipas menjadi pupus kerana selalu dibunuh?
Adakah lipas mempunyai apa-apa peranan penting untuk alam sekitar?
Mari kita belajar peranan lipas dan apa yang akan berlaku sekiranya lipas pupus.
Sumber Makanan Haiwan Kecil
Reaksi kebanyakan orang jika ternampak lipas, mesti “Eee! Lipas! Geli!”, kan? Jarang orang akan teruja kalau nampak lipas. Jadi, apa kata kita belajar sikit tentang peranan lipas, mana tahu ia boleh kurangkan rasa geli, kan?
Salah satu peranan lipas adalah untuk menjadi sumber makanan tebuan. Ini kerana, telur lipas merupakan satu-satunya makanan untuk tebuan parasit. Jika lipas pupus, tebuan parasit ini juga tidak mampu untuk hidup kerana tiada sumber makanan. Ia juga akan pupus.
Peranan yang lain adalah menjadi sumber makanan untuk burung, reptilia dan mamalia. Terdapat kira-kira 4,500 jenis lipas di dunia ini dan selain daripada tebuan, lipas juga menjadi sumber makanan untuk makhluk hidup yang lain, termasuklah sesetengah manusia yang mempunyai amalan makan lipas dalam budaya mereka.
Kebanyakan burung akan memburu lipas dan sebenarnya, lipas merangkumi lebih daripada 50 peratus diet burung belatuk merah. Ini adalah spesies yang terancam, dan fakta ini menjelaskan betapa pentingnya lipas dalam rantai makanan.
Tambahan pula, biawak gurun sejenis mamalia pemakan serangga kecil seperti tikus, juga memburu lipas. Namun, ia bukanlah seperti tebuan parasit, kerana ia tidak hanya bergantung pada lipas untuk meneruskan hidup.
Jika lipas akan pupus dari planet Bumi, maka ia pasti akan menyebabkan kekurangan populasi makhluk ini.
Sumber Makanan Haiwan Lain
Selain daripada tebuan, burung, reptilia dan mamalia kecil, lipas juga berperanan untuk menjadi sumber makanan haiwan besar yang lain secara tidak langsung. Contohnya, kucing, koyote, serigala dan helang.
Haiwan-haiwan dan burung-burung ini merupakan pemangsa yang memburu tikus. Sekiranya populasi tikus terjejas kerana kekurangan lipas, secara tidak langsung ia akan menjejaskan populasi haiwan-haiwan ini juga.
Ini boleh menjejaskan keseluruhan hidupan liar. Manusia mungkin tidak akan peduli sekiranya tikus sudah pupus. Tetapi, kehidupan tanpa kucing dan burung di dunia bukanlah suatu yang menyenangkan.
Pengitar Semula Nutrien
Selain menjadi sumber makanan untuk haiwan, lipas juga mempunyai peranan yang penting dalam ekosistem. Lipas hutan merupakan pakar dalam memakan sampah daun dan bahan tanaman yang lain.
Lipas mempunyai mikrob di dalam perutnya yang membantu memecahkan bahan tumbuhan yang rosak yang tidak dapat dimakan oleh haiwan lain.
Setelah bahan organik telah dipecahkan oleh lipas, ia akan menyebarkannya di sekitar hutan dan akan dimakan oleh mikrob yang lain. Sesetengah jenis lipas juga boleh membantu dalam pendebungaan di kawasan tropika.
Kitaran Nitrogen
Anda mungkin tidak tahu, tetapi dalam hutan, lipas merupakan sumber nitrogen utama yang penting untuk pertumbuhan pokok dan penting untuk habitat.
Lipas akan memakan bahan organik yang membusuk, sampah daun dan kayu di sekitarnya. Bahan-bahan ini memerangkap banyak nitrogen atmosfera di dalamnya.
Apabila dimakan oleh lipas, ia akan membebaskan nitrogen ke dalam tanah melalui najis. Tumbuh-tumbuhan akan mengambil nitrogen tersebut dan ia membantu untuk proses tumbesaran.
Sekiranya lipas pupus dari dunia, ia akan memberi impak kepada hutan dan secara tidak langsung mengganggu kitaran hidup semua makhluk.
Kepupusan lipas juga akan menganggu kitaran nitrogen, kitaran semula nutrien, selain akan ada timbunan sampah, serpihan dan kotoran di hutan dan kawasan sekitarnya.
Kesimpulan
Jadi, walaupun kehadirannya mengganggu kita semua, kita tidak boleh menghapuskan kesemua lipas dalam dunia ini. Ini kerana, lipas pun memainkan peranan yang penting untuk ekosistem kita.
Suka atau tidak, kita perlulah hidup dengan lipas. Tetapi, janganlah sampai anda semua tidak mengemas rumah dan laman semata-mata untuk biarkan lipas berternak di rumah anda. Kebersihan masih perlu dijaga juga!