Ini tindakan Awal Ashaari selepas hampir setahun buka kedai kopi, rupanya rakan bisnes tidak jujur

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Selepas berjaya membuka cawangan pertama kedai kopi, The Great Coffee Club di Menara U,

Seksyen 13, di Shah Alam tahun lalu, rupanya ada sebab Awal Ashaari dilanda rasa kecewa.

Pengacara berkenaan kecewa dengan proses perniagaan yang diusahakan bersama seorang rakan perniagaan kerana dianggap tidak dilaksanakan dengan jujur.

Sehubungan itu, Awal mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam perniagaan kopi itu lagi.

Suami Scha Al-Yahya tersebut kini menuntut hak yang sepatutnya diterima sepanjang hampir lapan bulan terbabit dalam perniagaan kedai kopi itu.

Ini tindakan Awal Ashaari selepas hampir setahun buka kedai kopi, rupanya rakan bisnes tidak jujur

“Kedai kopi ini adalah satu usaha sama yang dibuat di atas persetujuan dua pihak, tapi ia tidak dilaksanakan dengan jujur sehingga membuatkan saya berkecil hati dan ambil keputusan untuk mengundur diri.

“Dengan keputusan ini, saya hanya ingin menuntut hak yang sepatutnya diberikan kepada saya.

“Selama ini saya mengambil sikap berdiam diri kerana ingin perkara ini diselesaikan secara baik, tapi tidak mendapat sambutan sehingga seperti biasalah saya terpaksa menggunakan peguam untuk menuntut hak.

“Sekarang ini semuanya masih dalam proses perbincangan antara peguam kedua-dua belah pihak. Tapi saya baru dapat tahu daripada peminat yang kedai itu sudah tiada.

“Saya pun tak tahu situasi kedai itu sekarang kerana saya memang sudah lama tidak berhubung dengan individu itu,” katanya, dipetik Harian Metro.

Menurut Awal, dia terkilan apabila perniagaan yang dibuat kerana minatnya terhadap kopi, namun diambil kesempatan di atas kenaifannya yang masih baru dalam dunia perniagaan.

“Saya berikan sepenuh hati untuk usaha sama ini dan sumbangan yang sewajarnya, tapi sebaliknya yang berlaku. Jadi saya pun enggan panjangkan isu ini dan ambil keputusan untuk tidak terbabit dan berdiam diri.

“Sebelum itu saya sudah bertemu dengannya untuk keluar dari perniagaan ini dan saya cuma tuntut hak saya. Tapi sampai hari ini saya belum terima sehingga terpaksa minta bantuan pihak guaman,” kata Awal lagi.

Pada Mac tahun lalu, Awal dilapor membuka cawangan pertama kedai kopi, The Great Coffee Club di Menara U, Seksyen 13, di Shah Alam.

Menurut Awal, dia memilih Shah Alam sebagai lokasi pertama kedai kopi miliknya kerana menepati target pasaran dan dekat dengan beberapa buah universiti.

BACA JUGA “Semua benda yang buat isteri aku marah mesti dia akan call aku, dia marah aku, tak jumpa parking pun aku yang kena”