Nama rapper, penghibur, dan penerbit muzik, Sean ‘P Diddy’, kini menjadi perhatian ekoran terpalit dengan skandal seks,
penyalahgunaan pengaruh dan kuasa, serta keganasan yang membawa kepada penangkapan superstar Hollywood ini.
Pada 16 September lalu, P Diddy, 54, ditangkap di sebuah hotel di New York atas tuduhan pemerdagangan seks dan pengubahan wang haram.
Sejak itu, pelbagai pendedahan mengenai sisi gelap P Diddy mula terungkap.
Kini, perhatian tidak hanya tertumpu kepada P Diddy, tetapi juga kepada selebriti ‘A-list’ yang telah lama menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Pada bulan Mac lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat melakukan siasatan terhadap P Diddy dengan membuat serbuan ke atas hartanah bernilai puluhan juta ringgit di Los Angeles dan Miami.
Dalam serbuan tersebut, pelbagai barang pelik ditemukan, termasuk 1,000 botol minyak bayi yang menimbulkan banyak persoalan.
Sejak itu, beberapa tuduhan dan saman telah difailkan terhadap penyanyi ini. Namun, selebriti ‘A-list’ tersebut seolah-olah berdiam diri tanpa memberi sebarang respon atau maklumat untuk membantu merungkai kes ini.
Tuduhan terhadap P Diddy disokong oleh dakwaan bahawa dia menggunakan pengaruh, kuasa, dan kekayaannya untuk memanipulasi, menyalahgunakan, dan memaksa kesemua mangsanya.
Situasi ini membuatkan ramai pengguna media sosial kecewa dan terus ‘push’ agar kes ini sentiasa berlegar di platform tersebut.
Mari kita perincikan tuduhan dan dakwaan yang menyebabkan penangkapan Sean P Diddy.
Pendakwaan Mangsa-Mangsa terhadap Sean P Diddy
P Diddy menghadapi beberapa tuntutan undang-undang, kebanyakannya berkaitan dengan salah laku yang serius, termasuk serangan seksual dan keganasan.
Tuduhan utama datang daripada beberapa wanita, termasuk bekas pasangannya, Cassie Ventura, yang mendakwa P Diddy melakukan penderaan fizikal, emosi, dan seksual selama bertahun-tahun. Selama menjadi kekasih P Diddy, hidupnya dikatakan menjadi kelam. Walaupun di luarannya nampak normal, dia mendakwa sering dipukul, dijadikan mangsa seks, diberikan dadah secara paksa, dan dikawal dengan cara yang sangat kejam.
Tuntutan undang-undang Cassandra yang difailkan pada November 2023 telah diselesaikan di luar mahkamah dengan jumlah yang tidak didedahkan, tetapi pendedahan itu menjadikan kes ini berkembang menjadi siasatan jenayah yang lebih luas.
Selain itu, Adria English, bekas bintang porno, memfailkan tuntutan undang-undang pada Julai 2024 yang menuduh P Diddy terlibat dalam pemerdagangan seks dan mendakwa selalu dipersembahkan secara seksual dalam majlis tertutup anjuran P Diddy.
Pada September 2024, seorang lelaki bernama Cardello Smith menuduh P Diddy memberi dadah dan merogolnya di sebuah parti pada tahun 1997. Dia memenangi keputusan penghakiman dengan jumlah tuntutan sebanyak $100 juta terhadap P Diddy.
Dalam bulan yang sama, bekas penyanyi Dawn Richard menuduh P Diddy melakukan penyalahgunaan verbal, fizikal, dan seksual semasa dia menganggotai kumpulan pop wanita, Danity Kane. Dia mendakwa menyaksikan penindasan terhadap orang lain, termasuk gadis bawah umur yang dieksploitasi semasa parti peribadi P Diddy.
Tuduhan dalam saman-saman ini mendakwa P Diddy terlibat dalam kegiatan pemerasan, perdagangan seks, dan menganjurkan pertunjukan seksual yang dirujuk sebagai ‘freak offs’ yang melibatkan ramai orang. Mangsa-mangsa ini sering kali berada di bawah pengaruh dadah.
P Diddy secara konsisten menafikan semua tuduhan tersebut. Ketika dibicarakan, antara hujah yang dikemukakan adalah bahawa hubungan yang terjalin dengan mangsa adalah berdasarkan persetujuan dan kerelaan. Selain itu, P Diddy dan peguam-peguamnya mendakwa bahawa beberapa mangsa berusaha menggunakan kekayaannya.
Perkaitan antara P Diddy dengan Bintang-Bintang Hollywood
Tidak semua selebriti bersuara tentang isu ini, memandangkan P Diddy mempunyai hubungan rapat dengan ramai personaliti popular Hollywood. Kebanyakan kenalan Hollywood yang rapat dengan P Diddy pernah bekerja bersama atau mendapat faedah daripada pengaruh besar beliau.
Ini menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai tentang sejauh mana selebriti-selebriti ini mengetahui tentang aktiviti yang didakwa.
Jennifer Lopez
Jennifer Lopez pernah menjalin hubungan dengan P Diddy dari 1999 hingga 2001. Mereka bertemu ketika penggambaran muzik video “If You Had One Love.” Walaupun Jennifer bercakap positif mengenai hubungan mereka, dia mengesahkan pernah merasai kecurangan. Namun, dia memilih untuk berdiam diri tentang tuduhan terkini terhadap P Diddy.
Jay-Z
Perhatian juga tertumpu kepada hubungan P Diddy dengan Jay-Z, di mana kedua-duanya dianggap sebagai sahabat rapat. Walaupun mereka telah lama bersahabat dan bekerjasama, tidak banyak maklumat dikongsi mengenai kegiatan di belakang tabir mereka.
Namun, rapper 50 Cent pernah membincangkan hubungan ‘bromance’ ini di media sosial dan mempersoalkan tindakan Jay-Z yang menjauhkan diri daripada skandal ini. Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Jay-Z dan isterinya, Beyonce, menggunakan pengaruh P Diddy untuk terus kekal popular.
Mereka dikaitkan dengan teori konspirasi yang menyebutkan kejatuhan artis lain yang tidak diberi peluang untuk bersaing, dengan aktiviti pembunuhan dan ‘praising’ ketika acara anugerah.
Justin Bieber
Justin Bieber, yang meraih populariti semasa remaja, dikatakan menghabiskan banyak masa bersama P Diddy pada awal kerjayanya. Laporan media menunjukkan bukti video pada tahun 2009 di mana Bieber menghabiskan 48 jam bersama P Diddy, menimbulkan persoalan tentang status hubungan mereka.
Media sosial kini mencetuskan kebimbangan mengenai ‘sexual grooming’ di mana P Diddy dikaitkan sebagai pedofilia. Ketika itu, Justin Bieber berusia 15 tahun dan sehingga kini, beliau belum bercakap secara terbuka mengenai isu ini.
Usher
Penyanyi Usher pernah dihantar untuk tinggal bersama P Diddy pada tahun 1994, ketika berusia 15 tahun untuk bekerja bagi album sulungnya. Usher menggambarkannya sebagai pengalaman yang ‘membuka mata’ dan pernah mengakui diperkenalkan kepada aktiviti seksual di rumah P Diddy. Namun, beliau banyak berdiam diri tentang butiran masa lalu bersama P Diddy.
Ashton Kutcher
Dalam sebuah klip temu bual Ashton Kutcher dari tahun 2019 dalam rancangan ‘Hot Ones’ yang kini kembali muncul di media sosial, pelakon itu seolah-olah memberi ‘petunjuk’ tentang rahsia daripada parti-parti peribadi P Diddy, yang dikaitkan dengan laporan tentang dadah dan aktiviti seksual. Ashton bertemu P Diddy pada tahun 2002 semasa MTV’s Punk’d dan Making the Band.
Sejak itu, Ashton Kutcher sangat rapat dengan P Diddy dan sering kali menjadi pengunjung tetap acara parti peribadi rapper ini.
Pesta terkenal P Diddy, terutamanya ‘White Party’, telah menjadi tumpuan dengan kehadiran ramai selebriti ‘A-list’, termasuk Leonardo DiCaprio, Kim Kardashian, dan Mariah Carey.
Untuk pengetahuan, ‘White Party’ adalah majlis tertutup yang dianjurkan P Diddy dari tahun 1980 hingga 2009, di mana semua individu yang dijemput perlu berpakaian putih sebagai simbol kesamarataan.
Walaupun peristiwa-peristiwa ini muncul semula selepas penangkapan P Diddy, tiada laporan aktiviti jenayah yang pernah dikaitkan dengan mereka.
Dakwaan sebagai Pedofilia
Dakwaan aktiviti seksual melibatkan kanak-kanak yang dilakukan oleh P Diddy juga diperkukuhkan dengan laporan 100 mangsa, termasuk 25 kanak-kanak, yang mahu memfailkan saman terhadap beliau. Hampir 1,000 mangsa lain turut dilaporkan membuat laporan.
Mangsa P Diddy yang termuda adalah seorang budak lelaki berusia 9 tahun yang dikatakan dirogol dan diberikan dadah. Budak lelaki dan ramai mangsa lain dijanjikan peluang untuk bekerja bersama P Diddy, sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya.
Teori Konspirasi
Kes ini menyebabkan pelbagai teori konspirasi timbul, dan kisah lama P Diddy dikorek semula untuk menghubungkan kes ini.
Antara peringatan yang muncul adalah daripada rapper Eminem menerusi lirik lagu ‘Fuel’ yang diterbitkan tahun ini. Dalam lirik itu, terdapat bait yang berbunyi: “I’m like a R-A-P-E-R. Got so many S-As (huh). Wait, he didn’t just spell the world ‘rapper’.”
‘Raper’ dalam lirik ini kononnya bermaksud perogol dan bukan ‘rapper’, sementara ‘S-As’ dikatakan bermaksud keganasan seksual. Lirik ini juga secara jelas menyebut nama P Diddy dengan bahagian “and leave out a P, Diddy.”
Beberapa media yang membincangkan lirik lagu ini mula mengaitkannya dengan tuduhan terkini terhadap P Diddy.
Dalam satu tweet yang menjadi tular, seorang pengguna mencatatkan: “Bila lagu Eminem menjadi kenyataan. Oh, P Diddy, wow!”
Laporan terkini menganggarkan kerugian yang ditanggung oleh P Diddy dalam kes ini adalah antara $100 juta hingga $200 juta, di mana banyak artis terpaksa menutup pertunjukan dan jenama masing-masing akibat skandal ini.
P Diddy sekarang menghadapi perbicaraan awal pada 2024 dan mungkin berdepan dengan lebih banyak tuduhan serta denda yang lebih tinggi jika didapati bersalah.
BACA: “Aku rasa macam kena nasi kangkang dengan keluarga mentua, semua harap aku bayar sedangkan..