Penyanyi dan juri Famili Duo 4 (FD4), Mas Idayu, 52, meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan
Joey Daud yang tidak memberi respons secara langsung terhadap tegurannya semasa siaran langsung program tersebut.
Menurut Mas Idayu, kontroversi tidak akan timbul jika Joey terus bersemuka dan menjawab komen yang diberikan mengenai persembahannya bersama Naqiu pada malam itu.
“Kenapa dia tidak bertanya saya terus pada malam itu? Jika dia bertanya, perkara ini akan selesai di situ sahaja.
Dia kata tidak mahu kontroversi, tetapi bila ditanya media, dia pula yang menjawab. Kalau tak mahu kontroversi, lebih baik terus diam,”
katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya, Harum Mekar Di Hati, di Red Box, The Curve, Petaling Jaya, pada Khamis.
Kenyataan tersebut adalah reaksi Mas Idayu terhadap luahan Joey yang terkilan dengan komen diterimanya pada malam separuh akhir FD4, 8 Disember lalu.
Joey dan Naqiu tersingkir pada malam itu walaupun merasa mereka telah memberikan persembahan terbaik. Joey juga menyangkal dakwaan bahawa dia terlupa lirik ketika menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran (KRU) dan Inilah Nasibku (Nico).
Joey turut menyatakan bahawa keputusan penyingkiran tersebut mengejutkannya kerana merasakan persembahannya sudah memenuhi kehendak pertandingan.
Mas Idayu Jelaskan Penilaian Juri
Mengulas lebih lanjut, Mas Idayu menegaskan bahawa keputusan memilih hanya tiga peserta ke peringkat akhir bukan di bawah kawalannya sepenuhnya. Menurutnya, isu terlupa lirik juga bukan penyebab utama pasangan duo itu tersingkir.
“Bukan fasal lirik mereka terkeluar. Kami sebagai juri tidak begitu tegas tentang hal itu. Persembahan mereka pada malam tersebut okey sahaja. Tapi, jika mereka rasa layak ke final, siapa yang perlu saya singkirkan? Itu persoalan dari saya,” katanya.
Mas Idayu menegaskan bahawa tugasnya sebagai juri adalah memilih tiga peserta terbaik untuk mara ke final, sesuai dengan format pertandingan.
Dalam masa sama, Mas Idayu menyifatkan isu tersebut sebagai salah faham yang boleh diperbetulkan jika penonton menilai semula rakaman program.
“Saya tidak ambil pusing dengan kritikan. Jika menjadi juri, biarlah saya yang kena kecam. Saya sudah cukup kuat selepas 12 tahun menjadi juri. Cuma jangan kacau peserta,” tambahnya.
Joey dan Naqiu Tersingkir
Pasangan Joey dan Naqiu bersama Zahid dan Anne tidak berjaya mara ke pentas akhir FD4. Malam kemuncak FD4, yang bakal berlangsung Ahad ini, akan menyaksikan persaingan tiga pasangan duo: Ayie & Salma, Tomok & Sharul, serta Shika & Ieda Zikir.
BACA: Tak puas hati kena tampar sebab tak solat subuh, pelajar heret guru ke balai polis