Ini makna dan fungsi signboard highway ada huruf ‘AH’

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Seperti yang kita sedia maklum, papan tanda jalan raya berfungsi sebagai panduan, memberi amaran, larangan, serta maklumat kepada pengguna jalan raya.

Sebagai pengguna, pasti anda pernah perasan bahawa papan tanda jalan mempunyai warna dan huruf berbeza seperti biru, hijau, atau coklat.

Salah satu yang menarik perhatian ialah papan tanda AH2 berlatar belakang hitam.

Namun, tidak ramai yang memahami makna di sebalik tanda ini.

Apa Itu AH2?

Ini makna dan fungsi signboard highway ada huruf 'AH'

AH2 adalah singkatan kepada Asian Highway atau Lebuhraya Asia.

Menurut portal Road Traffic Technology, ia merupakan sebahagian daripada rangkaian lebuhraya sepanjang 141,000 km yang melintasi 32 buah negara.

Lebuhraya ini juga berfungsi sebagai penghubung antara benua Asia dan Eropah, dengan pembinaan serta penambahbaikan yang dijalankan secara berterusan.

Rangkaian ini adalah salah satu komponen projek Pembangunan Infrastruktur Pengangkutan Darat Asia (ALTID), disokong oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP).

Sejarah Projek Lebuhraya Asia

Projek Rangkaian Lebuhraya Asia dimulakan pada tahun 1959. Fasa pertama berlangsung dari 1960 hingga 1970. Walau bagaimanapun, pembangunan terhenti pada 1975 disebabkan penangguhan bantuan kewangan. Projek ini disambung semula pada 1980-an dan 1990-an, apabila situasi politik dan ekonomi bertambah baik.

Pada 1992, pembangunan AH diserap sebagai sebahagian daripada ALTID. Seterusnya, Perjanjian Antara Kerajaan (IGA) mengenai projek ini dimeterai dalam persidangan di Bangkok pada November 2003. Pada April 2004, sebanyak 23 negara menandatangani IGA, dan angka ini meningkat kepada 32 negara pada tahun 2008.

Dalam projek ini, China merupakan pelabur terbesar, diikuti oleh India dan Rusia.

Negara-Negara Dalam Projek AH

Rangkaian AH merentasi banyak negara di Asia dan sebahagian Eropah. Antaranya:

Afghanistan (4,247 km)
China (25,579 km)
India (11,432 km)
Malaysia (1,595 km)
Rusia (16,869 km)
Singapura (19 km)
Secara keseluruhan, jalan-jalan ini dikodkan sebagai AH1 hingga AH83, di mana AH2 adalah salah satu laluan utama sepanjang 13,107 km yang bermula dari Denpasar, Indonesia hingga ke Khosravi, Iran. Laluan ini melalui negara-negara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan.

Laluan Utama AH Lain

Selain AH2, beberapa laluan utama lain termasuk:

AH3: Dari Ulan-Ude, Rusia ke Tanggu dan Shanghai, China, sebelum menuju Chiang Rai, Thailand.
AH5: Laluan 10,380 km dari Shanghai, China ke sempadan Turki-Bulgaria.
AH6: Menghubungkan Busan, Korea Selatan ke sempadan Rusia-Belarus sejauh 10,475 km.

Sebahagian besar laluan AH AH10 hingga AH29 terletak di Asia Tenggara, manakala AH30 hingga AH39 berada di Asia Timur. Laluan di Asia Selatan pula menggunakan kod AH40 hingga AH59.

Papan tanda AH2 mewakili salah satu laluan penting dalam Rangkaian Lebuhraya Asia, yang memainkan peranan besar dalam menghubungkan negara-negara Asia dan Eropah.

Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan antarabangsa tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi serantau.

Kini, rangkaian ini terus berkembang untuk memenuhi keperluan pengangkutan moden.

BACA:6 atlet Malaysia ini bakal gegar kejohanan badminton dunia, no.1 tu banyak kontroversi