Ini kisah hidup Shah Jahan sebelum tercetusnya idea pembinaan Taj Mahal yang ramai tak tahu

Oleh MHDAILY

Ini kisah hidup Shah Jahan sebelum tercetusnya idea pembinaan Taj Mahal yang ramai tak tahu.

Apa pandang korang tentang perempuan yang kahwin dengan suami orang? Korang sanggup tak jadi perempuan tu?

Bukan bini pertama, tapi bini kedua! Dah tu, ada pulak bini ketiga lepas korang.

Ini kisah hidup Shah Jahan sebelum tercetusnya idea pembinaan Taj Mahal yang ramai tak tahu

Tapi kan, macam mana kalau tok laki tu mewahkan korang dengan kekayaan tak terperi dan bangunkan makam menakjubkan atas nama cinta.

Tahukah korang, Taj Mahal kat India tu diinspirasi daripada Mumtaz Mahal, bini kedua Maharaja Mughal, Shah Jahan!

Shah Jahan telah mengahwini puteri Kandahari Begum pada 1610. Setelah lima tahun berkahwin dengan Mumtaz Mahal pada 1612, dia menikahi pula Akbarabadi Mahal pada 1617. Tapi jangan salah faham! Jangan membawang dulu. Perkahwinan pertama dan ketiga Shah Jahan kata pengkaji, atas faktor kestabilan politik. Keluarga bini satu dan tiga dari keluarga berpengaruh dalam Kerajaan Mughal.

Kandahari Begum dan Zeenat

Sejujurnya cinta pertama Shah Jahan tetaplah Mumtaz Mahal. Bahkan merpati dua sejoli ni sebenarnya dah bertunang lagi awal yakni pada 1607. Macam tu lah orang lelaki, berapa ramai pun perempuan yang singgah dalam hidupnya, cinta sejati yang terpahat di hati hanyalah seorang. Bagi Shah Jahan, perempuan istimewa di hatinya adalah Mumtaz Mahal.

Mengimbas semula cinta pandang pertama, dikatakan putera Khurram terpandang ke wajah cantik seorang gadis remaja di pasar Agra. Dia terus terpesona dan terpaku tidak terkata. Tiada aksara mampu memperjelas getar di jiwa. Lantas anak muda yang sewaktu ini bertaraf putera mahkota cuba mencari gerangan siapakah si cantik manis.

Setelah diselidik, tahulah dia gadis tersebut bernama Arjumand Banu Begum. Anak dara Abu’l-Hasan Asaf Khan ni dari keluarga bangsawan Parsi dan pegawai kerajaan Mughal.

Putera Khurram menjumpai keluarganya dan menghantar berbagai-bagai hadiah mahal berupa perhiasan dan busana mewah. Mujur, cinta sang teruna tidak bertepuk sebelah tangan. Dah memang jodoh, Putera Khurram akhirnya menikahi Arjumand Banu Begum yang berumur 19 tahun dan menamakannya Mumtaz Mahal. Bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama sepadan.

 

Pada Januari 1628, Putera Khurram naik takhta dan memakai nama Shah Jahan. Di zamannya, Empayar Mughal mencapai kegemilangan dalam bidang kebudayaan dan senibina. Projek mega seperti Taj Mahal, Red Fort dan Masjid Shah Jahan berjaya dibangunkan. Di zamannya juga, Tarekat Naqsyaband mencorakkan polisi Kerajaan Mughal.

Mumtaz Mahal, isteri kesayangan Shah Jahan yang setia menemani suaminya di mana sahaja. Catatan berkenaan percintaan mereka berbaur romantis dan erotis. Di mana ada Mumtaz Mahal, di situ ada Shah Jahan. Sampaikan isteri tercinta ini menemaninya sampai ke akhir nyawa.

Pada 1631, sewaktu menemani Shah Jahan dalam kempen ketenteraan, Mumtaz Mahal melahirkan anak yang ke-14. Setelah bersabung nyawa selama 30 jam, sang ibu ini syahid akibat pendarahan postpartum dan kehilangan lebih 500 ml darah. Shah Jahan berjanji di sisi isterinya yang sudah sakarat, untuk tidak berkahwin lain. Janjinya lagi, sebuah makam agung akan dibangunkan.

Pemergian isterinya ke negeri abadi membuat Shah Jahan sengsara. Selama setahun, dia mengunci diri. Selepas habis berkabung, rambutnya telah memutih, belakangnya bongkok dan air mukanya tiada lagi seri. Lihatlah seorang lelaki yang patah hati! Sebagai lambang cinta sejati, dia binakan Taj Mahal yang mengambil masa 22 tahun bagi membuktikan kesetiaannya yang tidak diikat waktu.

Hari ini, sudah ratusan tahun Taj Mahal masih berdiri, selama itu jugalah kesetiaan Shah Jahan dengan Mumtaz Mahal sentiasa diingati.

BACA:

Hawa Rizwana pilih Hun Haqeem, habis Zizan Razak macam mana?

”Rindu masa dahulu ketika kalian masih kanak-kanak”, Bapa kongsi kisah sedih rindu anak undang sebak netizen