Ini kisah bagaimana demam pertama wujud di muka bumi yang ramai tak tahu.
Kisah banjir besar yang melanda dunia sewaktu zaman Nabi Nuh bukan hanya dinyatakan di dalam al-Quran,
malah bencana banjir itu juga digambarkan pada banyak catatan peradaban masa lalu dan manuskrip kuno.
Kisah bah besar ini turut tercatat dalam Perjanjian Lama dan Baharu agama Nasrani.
Ia turut diungkapkan dalam catatan-catatan sejarah lain seperti tamadun Sumeria, Babylon, legenda Yunani, epik Shatapatha Brahmana dan Mahabrata dari India, legenda Wales di kepulauan Inggeris, legenda Lithuania, dan kisah Dewi Nuwa menampal langit dari tamadun China.
Walau sekian banyak riwayat menceritakan peristiwa tersebut dengan berbagai-bagai perbezaan, yang aslinya hanya terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Quran, Nabi Nuh a.s. telah berdoa kepada Allah s.w.t. agar umatnya yang ingkar ditimpakan azab bencana.
Nabi Nuh a.s merupakan nabi pertama yang diutus menjalankan usaha dakwah kepada orang kafir. Walau sebelum Nabi Nuh diutus sudah ada nabi, namun manusia ketika itu hanya melakukan maksiat seperti kisah Habil dan Qabil dan tidaklah sampai kepada kekufuran akidah.
Selama hampir 700 ratus tahun Nabi Nuh berdakwah kepada umatnya, hanya sekitar 80 orang sahaja yang beriman kepada Allah. Tidak mustahil mengapa Allah s.w.t. mendatangkan musibah yang sangat besar kepada umat ini.
Teori Sains Dalam Banjir Nabi Nuh
Apabila berkembangnya sains dan teknologi, pelbagai teori dikemukan oleh para pengkaji bagi menggambarkan, bagaimana bencana banjir itu berlaku. Dari sudut sains, mereka menganggap bencana itu hanya fenomena alam.
Pada tahun 1960, Henry Morris dan Jhon Whitchomb mengemukakan teori yang agak kabur. Menurut mereka, sebelum air bah itu datang, terdapat tudung wap di atas atmosfera, namun tidak diketahui secara pasti mekanisme runtuhnya tudung wap ini. Tudung wap air ini memberikan separuh daripada keseluruhan air yang diperlukan untuk menghasilkan banjir tersebut. Akan tetapi terdapat masalah pada teori ini terutama tekanan besar daripada atmosfera yang sangat lembap.
Teori lain pula menyatakan, air bah itu terjadi disebabkan ais dari kutub utara dan selatan mencair. Akibatnya permukaan laut meningkat dan air bergelora dengan kelajuan 96 km per jam. Gelombang air itu melepaskan isi padu air 200 kali ganda dari air terjun Niagara.
Ada juga yang mengatakan banjir ini berlaku disebabkan jatuhnya komet dari angkasa ke dalam lautan. Kesan hentaman komet itu menghasilkan gelombang banjir yang sangat dahsyat. Hentaman itu memiliki tenaga TNT sebesar 10 juta megatron atau setara dengan 500 kali tenaga yang terlepas dari bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima. Lalu tidak mustahil bagaimana dahsyatnya banjir berlaku hingga menghasilkan tsunami raksasa dan badai yang begitu besar.
Jatuhnya komet ke dalam lautan antara teori yang dikemukakan dalam kajian banjir besar ini.
Seorang ahli arkeologi marin, Robert Ballard mengemukakan teori hasil kajian bersama kumpulannya yang telah menelusuri ke dalaman Laut Hitam di sekitar Turki. Mereka melakukan kajian bagi mencari bekas peradaban yang tersimpan di dasar laut yang terpendam sejak zaman Nabi Nuh.
Menurutnya, dunia pada 12 ribu tahun sebelum Masihi yang lalu diselimuti ais. Laut Hitam dahulu merupakan danau air tawar yang dikelilingi kawasan pertanian. Kemudian pada 5,600 Sebelum Masihi, glasier mencair pada saat suhu bumi semakin menghangat mengakibatkan terbentuknya sejumlah lautan.
Inilah yang mengakibatkan terjadinya banjir besar di sebahagian besar kawasan dunia. Air itu kemudian mengalir melalui selat Bosforus dari Turki yang kemudian menuju Laut Hitam.
Segala teori di atas mungkin boleh diterima atau ditolak, namun teori yang nyata sudah tentu yang dikemukakan al-Quran. Kandungan Ilahi ini dengan jelas menyatakan bahawa punca air banjir itu bersumberkan dari langit dan dalam bumi. Ia keluar bersama dengan gelora yang sangat dahsyat sehingga segala gunung ganang habis dilitupi air.
Selain itu, terdapat riwayat yang menceritakan, sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagaimana Nabi Nuh mengawal haiwan buas seperti singa di atas kapal tersebut sewaktu bah besar melanda bumi.
Jawab Baginda s.a.w., “Allah telah memberikan kepada haiwan tersebut penyakit demam.” Dan disebut bahawa itulah penyakit demam pertama yang turun ke dunia.
Apa pun, kisah banjir Nuh ini merupakan iktibar untuk diteladani buat umat manusia sesudahnya.
Seperti firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut ayat 15 yang berbunyi, “Maka dengan itu Kami selamatkan Nuh dan orang yang berada di dalam kapal itu dan Kami jadikan peristiwa itu sebagai petunjuk seluruh alam.”
BACA:
Pukul dan pijak perut isteri hamil, ahli politik ditahan Polis