Ini dia watak utama yang rungkai mayat terakhir tragedi Batang Kali

Oleh MHDAILY

Ini dia watak utama yang rungkai mayat terakhir tragedi Batang Kali. “Ketika memandang ke kawasan lereng bukit, saya ternampak cecair hitam dan bila diperiksa, cecair itu tiada bau. Hati saya berat yang ia cecair dari mayat.”

Itu pengalaman Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa.

Beliau menjadi watak utama episod penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong, yang ditemukan semalam.

Ketika dihubungi hari ini, pegawai bomba berusia 48 tahun itu, berkata beliau menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang ditimba sepanjang 28 tahun dalam perkhidmatan bomba untuk mengesan mayat terakhir itu.

Tugasnya dalam pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah sebagai perancang taktikal operasi. Perancangan perlu dibuat dengan mengambil kira jumlah, arah pergerakan serta kelajuan tanah yang runtuh.

Ini dia watak utama yang rungkai mayat terakhir tragedi Batang Kali

Selain semua faktor itu, Juyana berkata, untuk mangsa terakhir juga, beliau memang tumpukan pencarian di Sektor A (Hill View) kerana yakin mangsa berada di situ berdasarkan penemuan mayat bapa dan kakaknya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, usaha pencarian di tapak utama sektor berkenaan masih gagal menemukan mangsa terakhir sebelum beliau berehat dan terlelap seketika di bawah pokok di lokasi petang semalam lalu mendapat ilham.

“Pada hari pertama, saya ada menemukan seorang mangsa wanita di kawasan lereng bukit di Sektor A dan saya ambil inisiatif mendapatkan maklumat lanjut daripada suaminya yang terselamat mengenai kedudukan khemah mereka pada hari kejadian.

“Berdasarkan itu, saya terus memandang ke lereng bukit kerana berasakan kemungkinan mangsa terakhir ini mungkin berada di lereng bukit itu yang tinggal satu-satunya lokasi yang memang kita belum lakukan pencarian sepenuhnya.

“Ketika memandang ke situ, ternampak cecair hitam seakan cecair dari mayat dari tanah. Saya terus merangkak memanjat lereng berkenaan dan bila saya periksa, cecair itu tidak berbau, tapi saya terus mengorek dengan penyodok dan ternampak kain.

“Apabila saya tarik keluar sedikit kain itu, barulah tercium satu bau kuat yang juga bau mayat. Maka saya yakin inilah mayat yang kita cari sebelum memanggil rakan sepasukan lain untuk mengorek di situ secara manual,” katanya.

Semalam, mayat mangsa ke-31 dan terakhir itu ditemui dalam beg tidur yang tertimbus pada kedalaman 1.5 meter dalam tanah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A.

Ditanya perasaannya ketika menemukan mayat mangsa, Juyana berkata, beliau rasa amat bersyukur kerana pencarian mereka berakhir dan dapat memberikan pengakhiran yang baik kepada harapan keluarga agar mangsa ditemui walaupun sudah tidak bernyawa.

“Saya juga rasa teruja dan bangga kerana pasukan bomba dapat melaksanakan tangggungjawab sebaiknya, berjaya menemui semua mangsa memandangkan bencana ini berlaku dalam skala besar.

“Walaupun berdepan pelbagai rintangan dan kekangan, termasuk keadaan muka bumi dan cuaca, akhirnya pasukan bomba dibantu pasukan agensi lain dalam operasi, tugas ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Katanya, ini kali pertama beliau terbabit operasi SAR kejadian tanah runtuh yang membabitkan jumlah mangsa besar.

Pada operasi SAR sembilan hari itu, Juyana yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan bersama pasukannya memainkan watak penting dalam mengesan dan membawa keluar 19 daripada 31 mayat, masing-masing 10 di Sektor C (Riverside) dan sembilan di Sektor A termasuk mangsa terakhir.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam operasi SAR termasuklah pengendali jentera jengkaut. Pada saya merekalah hero, merekalah yang bertungkus lumus dan memberikan komitmen amat tinggi membantu membuat penggalian di tapak SAR yang luas.

“Tanpa khidmat mereka, operasi SAR ini mungkin mengambil masa yang lebih lama,” katanya.

Dalam tragedi 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terbabit, dengan 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak

BACA:

Jutawan Arab ini ajar cara jadi kaya, rugi tak buat

Anggota JPJ dipuji bantu OKU, ‘tak rugi belajar bahasa isyarat’

“Dulu orang anggap gila, kini dia paling genius” – Rumah terapung ketika banjir