“Ini ayah, bukan BF saya!” – Gadis letih nak tepis dakwaan sebab wajah muda bapa. Bukan sekali dua, tapi sudah berkali-kali ayahnya, Mohd Rizan Haron, 48, disangka teman lelakinya.
Itu situasi lucu dilalui Balqis Najwa Mohd Rizan, 23, setiap kali dia dan bapanya berjalan bersama di khalayak ramai.
Malah, setiap kali itu juga Balqis yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Syariah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menjelaskan status mereka.
Terbaharu, ciapan Balqis di Twitter mengenai dia dan bapanya turut mendapat perhatian warganet.
“Ini bukan insiden pertama bapa dianggap kekasih saya. Mungkin sebab kawan bapa atau kawan saya jarang melihat kami berdua.
“Jadi, apabila mereka sesekali terserempak dengan kami akan berfikir sedemikian. Ada juga yang masih tak percaya, sebab bapa tampak muda sampai saya habiskan pengajian di UKM.
“Setiap kali yang fikir sebegitu, saya tak marah atau kecil hati pun. Bapa lagi suka sebab orang kata dia muda dan sebaya saya. Dia tak cakap apa pun, melainkan respons dengan ketawa atau gurauan.
“Seperkara lagi yang mungkin orang anggap bapa saya adalah kekasih sebab dia seorang yang bergaya dari segi penampilan. Sejak dulu lagi bapa memang suka ikut trend semasa. Gaya rambut baru kerinting itu pun baru beberapa minggu lepas bapa buat,” katanya.
Menurutnya yang juga anak jati Selangor, dia mempunyai enam adik beradik, dirinya anak sulung dan adik bongsu berusia lima tahun.
“Kedua ibu bapa saya sebaya. Mereka kahwin awal dan saya dilahirkan ketika mak berusia 24 tahun. Kira mudalah untuk generasi kini.
“Tapi tidak untuk generasi terdahulu. Sebab kawan sebaya kedua ibu bapa saya, anak sulung mereka lebih tua daripada saya. Malah kawan mereka kahwin lebih awal.
“Macam saya dengan adik kalau berjalan macam ibu dan anak,” katanya.
Dalam pada itu, Balqis mengakui akan berkahwin dengan tunangnya yang berusia 26 tahun pertengahan bulan ini.
“Tunang saya tua tiga tahun daripada saya. Insya-Allah, kami bakal berkahwin tak lama lagi.
“Macam sekarang, saya dan tunang mengusahakan perniagaan kafe Triplets Cakery’s yang dijalankan di sebelah rumahnya. Saya cuma menjalankan bahagian pemasaran. Tunang pula menguruskan bahagian pengurusan dan pengeluaran,” katanya.