Ini adalah kisah SU Agung Komunis Malaya yang sebenarnya ialah ‘triple agent’
British yang ramai tak tahu.Kalau korang jenis minat tengok cerita spy, mesti biasa juga tengok orang yang mula-mula nampak dia spy yang baik,
tetiba, dia la rupanya yang jahat, kan? Contohnya macam watak Ted Winter, agent CIA yang rupa-rupanya double agent yang bekerja untuk Rusia dalam filem SALT.
Biasa dengar double agent je, tapi macam mana pulak triple agent? Tak lama masa tempoh Perang Dunia Kedua, ada pengintip dari Malaya ni nampaknya bukan jadi, double, tapi siap triple agent.
Tapi untuk korang semua fahami lebih lagi kisah triple spy ni, kita kena mengembara sikit ke negara belah utara sana yang sekarang ni lebih dikenali sebagai Vietnam.
Pengintip paling terkenal di Malaya yang bukan berasal dari Malaya pun?
Lai Teck dilahirkan pada 1903 kepada pasangan Cina-Vietnam di wilayah selatan Vietnam, yang kemudiannya dikenali sebagai Indochina Perancis. Nama Vietnamnya, bergantung kepada siapa yang bertanya, sama ada Nguyen Van Long, Pham Van Dac atau Hoang A Nhac, walaupun dia lebih dikenali sebagai Lai Rac di kawasan bandar.
Dia melibatkan diri dalam Parti Komunis Indochina pada usia yang muda, malah ditangkap kerana kegiatan politiknya ketika masih berusia 22 tahun. Dalam usaha untuk keluar dari penjara, Lai Teck kemudianya bersetuju untuk jadi pemberi maklumat Parti Komunis Indochina untuk Perkhidmatan Keselamatan Indochina Perancis. Di sinilah bermulanya kerjayanya sebagai seorang spy yang akan bekerja untuk sesiapa sahaja yang paling menjamin keselamatannya.
“Inilah bermulanya ‘corak’ dalam pengkhianatannya sepanjang hidup politiknya: berpindah kesetiaannya dari satu sisi ke pihak yang lain, tanpa ada keraguan dalam berbuat demikian untuk memungkiri komrad sebelumnya,” – Leon Comber, Felo Kanan ISEAS, dalam kertas penyelidikannya mengenai Lai Teck
Nama saya Teck, Lai Teck.
Dia kemudiannya bekerja untuk Perancis sebagai perisik, menghabiskan beberapa tahun di Vietnam sebelum ke Moscow di bawah permintaan pemimpin parti Ho Chi Minh. Ia adalah satu perkara biasa bagi komunis muda Vietnam untuk pergi ke Moscow untuk latihan. Perjalanan Lai Teck berakhir ke China buat sementara waktu, di mana dia bekerja di organisasi komunis antarabangsa sebelum menuju ke Hong Kong.
Masa yang dihabiskan di sana, bersama pemimpin komunis amat penting untuk misi yang seterusnya – untuk menyusup masuk ke dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Dia menjalankan tugas dengan sangat baik, sampaikan dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM
Korang tahu la filem-filem spy di mana agent akan masuk ke kedai yang nampak misteri, dan membisikkan beberapa perkataan yang akan terus difahami pemilik kedai tu sebagai kod rahsia mereka. Macam tu jugalah yang berlaku sebenarnya dalam dunia spy sebenar.
Semasa di Hong Kong, Lai Teck melawat sebuah kedai runcit dan memperkenalkan dirinya sebagai ahli komunis, di mana tujuan mereka adalah untuk membunuh kapitalisme global. Pemilik kedai tu sedar yang dia berhubung dengan ahli komunis juga, dan terus memberikannya dana untuk perjalanannya ke Singapura bagi menyebarkan revolusi… itulah apa yang dia fikir.
Tapi sebenarnya, Lai Teck bercadang untuk bertemu dengan Cawangan Khas Singapura, iaitu sebahagian daripada pasukan polis British. Sepanjang zamannya sebagai perisik Perancis menentang Komunis Vietnam, segala perhubungannya diserahkan kepada British, seperti bantuan dari satu penjajah kepada yang lain. British pula nak dia menyusup masuk ke Parti Komunis Malaya kerana dia mempunyai semua kelayakan yang diperlukan untuk nampak macam seorang komunis yang nak bantu dalam perjuangan menentang penjajah.
Lai Teck sekali lagi membuktikan yang dia seorang pengintip yang bagus, dengan mendapatkan banyak maklumat untuk Britain. Ramai ahli PKM yang ditangkap pihak British dan dibuang ke China. Sementara tu, pihak berkuasa juga bantu dia balik dengna cara tak kacau mana-mana aktiviti PKM yang diketuai oleh Lai Teck, bagi meningkatkan reputasinya dalam parti.
Segalanya berjalan dengan lancar bagi Lai Teck, di mana dia akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM pada tahun 1939. Ia adalah satu langkah luar biasa dari Cawangan Khas Singapura – malah, takde sorang pun dari PKM yang mengesyaki apa-apa sebab Lai Teck nampaknya seorang pemimpin komunis yang hebat, nak pula dengan masa yang dihabiskanya di Vietnam dan Moscow.
Tapi nampaknya, ada musuh yang lebih besar bagi komunis dan juga British pada masa tu. Pada 1941, dengan Perang Dunia Kedua yang sedang berlangsung, Jepun nampaknya memulakan pendudukannya di Malaya dan Singapura. British nampaknya tak senang dengan perkara tu, jadi mereka terpaksa menerima bantuan daripada mana-mana sumber yang mereka boleh dapat, termasuklah bekerja dengan PKM.
Lebih kurang macam ni la kot mereka bincang dalam usaha perang anti-Jepun.
Tapi Lai Teck yang melumpuhkan usaha perang anti-Jepun PKM
Dalam buku sejarah, kita sering kali diingatkan tentang bahayanya ideologi komunisme. Tapi nampaknya kali ni, mereka sedaya-upaya cuba untuk menghentikan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, selain daripada pendudukan British sebelumnya. Walau bagaimanapun, dengan Lai Teck yang sedang berada di kemuncak, sebahagian daripada perjuangan mereka terganggu, di mana nampaknya sekali lagi kesetiaannya berubah dengan cepat.
Hanya beberapa bulan je Jepun memulakan pencerobohan mereka, Lai Teck tertangkap, dan ditahan oleh pasukan polis tentera Jepun, iaitu Kempeitai. Di sinilah dia memulakan bahagian ketiga pengkhianatannya – bekerja untuk tentera Jepun.
“Dia ditahan Kempeitai Jepun… lalu disoal siasat di ibu pejabat kempeitai… Dia pecah rahsia semasa disoal siasat dan bersetuju untuk bekerja di bawah mereka sebagai ejen rahsia untuk menyelamatkan nyawanya,” – Leon Comber, Fakulti Senior ISEAS, dalam kertas kajiannya tentang Lai Teck
Kempetai Jepun yang bukan calang-calang. Mereka dikenali sebagai Gestapo versi Jepun. Imej dari Listverse
Dan dah tentulah berita pasal penahanan, dan kemudian pembebasannya akhirnya menjadi buah mulut anggota partinya. Sebab kebanyakan mereka yang ditahan tentera Jepun biasanya takkan keluar hidup-hidup. Malah, skop pekerjaannya yang baru ni dirahsiakan sehabis mungkin, walaupun hampir-hampir je terdedah.
Contohnya masa kes Li Ying Kang, seorang ahli PKM ditahan Kempeitai. Semasa dia ditahan, dia dapat tahu yang bos dia sendiri adalah ejen Kempeitai. Bila Lai Teck tahu yang Li Ying juga tahu tentang penyamarannya, dia kemudiannya mengarahkan supaya pihak Jepun melepaskan Li… di mana Lai Teck kemudiannya memberitahu anggota parti lain yang Li dilepaskan sebab dia bersetuju untuk menjadi perisik untuk Kempeitai. Li yang difitnah tu tak semena-mena ditanam hidup-hidup. Tak pasal pasal.
Tapi tu tak cukup ganas lagi. Lai Teck juga mendedahkan identiti beberapa orang ahli PKM yang terselamat daripada gelombang pembunuhan beramai-ramai Jepun, yang menyebabkan mereka ditahan dan akhirnya dibunuh.
Dia kemudiannya menghasilkan sebuah carta yang menggambarkan struktur PKM untuk Jepun, yang membolehkan parti tersebut dipecahkan oleh Kempeitai. Lai Teck juga membenarkan pelbagai aktiviti PKM untuk diteruskan, hanya untuk memberi peluang kepada tentera Jepun untuk menyerang dan membunuh mereka. Dianggarkan lebih dari seratus pejuang Komunis mati di tangan pengkhianatan Lai Teck.
Kempetai semasa pembunuhan beramai-ramai ‘Sook Ching’, orang Cina di Singapura dan Tanah Melayu. Imej dari LOLWOT
Lai Teck juga memastikan yang dia tak memberikan butiran mengenai pasukan Inggeris yang berjuang bersama PKM. Ini adalah untuk memastikan sekiranya British memenangi peperangan tu, dia akan tetap dapat berbaik dengan mereka – dia boleh kata yang semasa dia “dipaksa” untuk bekerja dengan Kempeitai Jepun, dia tak pernah ‘menjual’ British.
Dan nampaknya, itulah yang berlaku.
Apabila berakhirnya peperangan, Lai Teck bersembunyi, dan cuba untuk berbaik kembali dengan British. Dia melaporkan diri kepada pegawai Cawangan Khas Singapuranya. Bagaimanapun belum sempat dia berbuat demikian, penyamarannya terbongkar bila sorang ahli PKM yang turut ditahan Jepun menemui dokumen tentera Jepun dan mendapati yang Lai Teck adalah tali barut Jepun.
Berita tersebut tersebar, dan PKM akhirnya sedar yang selama ni, Setiausaha Agung mereka sebenarnya adalah mata-mata yang bekerja melawan mereka.
Lai Teck menghabiskan bulan-bulan terakhirnya dalam pelarian
Parti Komunis Malaya – yang diketuai oleh Chin Peng pada masa tu – membuatkan Lai Teck tak senang duduk. Dia yang pada mulanya dipanggil oleh Jawatankuasa Pusat PKM untuk dakwaan pengkhianatannya terus melarikan diri ke Malaya. Bukan tu je, Lai Teck juga melarikan duit parti dan sejumlah besar jongkong emas. Nampaknya, dia dah lama menggelapkan duit parti semasa zamannya sebagai setiausaha agung lagi.
Chin Peng semasa muda. Imej dari Orang Perak
Lai Teck berjaya menggunakan pasport dengan nama yang berbeza untuk melarikan diri dari Malaya, dan menaiki bot dari Singapura. Chin Peng, dalam misi untuk mengesannya, pergi ke Hong Kong, di mana melalui beberapa kenalan tempatan, dia mendapati yang Lai Teck berada di sana sebelum tu, dan menuju ke Bangkok. Melalui informasi tu, Chin Peng kemudiannya ke Bangkok dan menjumpai hotel tempat Lai Teck bersembunyi.
Tapi nampaknya, Lai Teck dah tinggalkan hotel tersebut.
Menurut Chin Peng, dia kemudiannya dapat tahu yang Lai Teck berpindah ke sebuah rumah kecil di Sungai Menam, di mana dia ditemui oleh komunis Thailand. Perbalahan yang ganas berlaku, dan komunis Thailand, dalam usaha untuk menahannya, secara tak sengaja mencekik dan terbunuh bekas mata-mata tu. Mereka kemudian memasukkan badan Lai Teck ke dalam karung dan membuang mayatnya ke dalam sungai.
Dan begitulah kisah Lai Teck, kisah ejen rahsia yang agak luar biasa. Pengajaran dalam kisah ni adalah kita tak patut mengkhianati orang dalam hidup ni, malah, mengkhianati diri sendiri yang membuatkan hidup tak pernah tenang.
BACA:
Tahukah anda? Teori kepimpinan Ulama sebenarnya adalah doktrin syiah yang ramai tak tahu