Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan standard nombor plat kenderaan baharu yang dikenali sebagai JPJePlate.
JPJePlate akan digunakan pada semua kenderaan motor tanpa pelepasan gas pencemaran (free emission vehicles, FEV) yang didaftarkan selepas 9 September 2024.
Ini adalah fasa pelaksanaan yang pertama, dengan matlamat akhir JPJePlate untuk digunakan oleh semua kenderaan bermotor di Malaysia.
Harga JPJePlate untuk EV di Malaysia
JPJePlate boleh didapati pada harga RM98 seunit. Namun, buat masa ini, ia hanya dijual melalui laman web http://jpjeplate.jpj.gov.my/
dan hanya penjual kenderaan yang boleh mendapatkannya.
Sebagai contoh, siri BYD Seal Premium yang baru dilancarkan minggu lalu telah memasukkan kos nombor plat RM80 dalam harga keseluruhan. Tidak diketahui sama ada pengedar akan menanggung kos tambahan ini sebagai nilai tambah kepada pengguna atau sebaliknya.
Dalam satu set pendaftaran JPJePlate, terdapat:
-JPJePlate depan
-JPJePlate belakang
-Pelekat pengenalan berkuasa RFID
-Skru keselamatan
Pada masa ini, proses pemasangan JPJePlate akan diselesaikan sepenuhnya oleh penjual kenderaan dan bayaran RM98 sudah termasuk semua komponen. Pemasangan pelekat pengenalan berkuasa RFID dan skru keselamatan adalah pilihan tambahan buat masa ini sehingga ada pengumuman lanjut.
Apa itu JPJePlate?
JPJePlate adalah inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Matlamat utama JPJePlate adalah untuk menyeragamkan reka bentuk nombor plat untuk semua kenderaan motor dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Menurut MOT, Malaysia termasuk dalam 5% negara yang masih menggunakan plat akrilik sebagai nombor pendaftaran kenderaan. Banyak pihak bersetuju bahawa plat sedia ada sukar dilihat pada waktu malam, menyukarkan proses penguatkuasaan, dan plat akrilik tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan, menjadikannya terdedah kepada penipuan. Ini membolehkan nombor pendaftaran palsu digunakan untuk melakukan kesalahan undang-undang.
Selain itu, rekaan nombor plat fancy juga menjadi masalah dalam penggunaan kenderaan di Malaysia.
9 Ciri-Ciri JPJePlate untuk EV Malaysia
JPJePlate mempunyai sembilan (9) ciri utama, iaitu:
1) Bendera Malaysia
2) Kod nombor pendaftaran kenderaan antarabangsa dan singkatan negara Malaysia (MAL) yang dicetak timbul (embossed)
3) Warna di sebelah kiri plat yang membezakan jenis bahan bakar kenderaan. Contoh: warna hijau untuk FEV
4) Jalur holografik
5) Foil anti-pemalsuan
6) Tandatangan digital (Kod QR)
7) Nombor siri yang diukir dengan laser
8) RFID terbenam
9) Skru keselamatan untuk pemasangan
BACA: Kucing sukar berjalan terpaksa diet, sama berat dengan kanak-kanak usia 5 tahun!