Dalam salah satu artikel kami tempohari, kami mencadangkan agar negara kita memperkenalkan sistem saman berdasarkan pendapatan,
dengan individu yang mempunyai pendapatan lebih tinggi akan dikehendaki membayar saman lebih banyak.
Ada pembaca kami yang bertanya, benarkah sistem tersebut ada digunakan di mana-mana negara dalam dunia?
Jawapannya, ada. Beberapa negara Scandinavia seperti Finland, Sweden dan Denmark serta negara Switzerland mengamalkan sistem saman berdasarkan pendapatan.
Dengan penggunaan sistem tersebut, sudah pastilah ada antara rakyat mereka yang bakal menjadi pemegang pembayar saman terbesar di dunia dan memang betul, jumlah saman yang mereka perlu bayar tak masuk akal. Berikut adalah 5 saman paling mahal di dunia yang pernah dikenakan pada individu yang melakukan kesalahan lalu lintas.
1. Jutawan disaman RM256,000
Reima Kuisla adalah seorang ahli perniagaan yang boleh dikatakan berjaya, dengan pendapatan sekitar RM30 juta setahun.
Bagaimanapun, ketika sedang memandu pada kelajuan 103km/j pada zon di mana had lajunya hanyalah 80km/j, Reima disaman. Dengan menggunakan rekod cukai pendapatannya pada tahun 2013, Reima dikenakan saman sebanyak RM256,000 atas kesilapannya.
Seperti biasa, sebagai dewasa dalam zaman media sosial, Reima meluahkan perasaannya dalam Facebook, mengkritik Finland sebagai sebuah negara tidak adil yang hanya tahu menyusahkan mereka yang mempunyai kemampuan lebih.
Komennya itu dikritik oleh rakyat Finland, dengan menyifatkan keluhan Reima tidak akan kedengaran sekiranya dia tahu menurut peraturan. (rujukan)
2. Pengarah Nokia disaman RM550,000
Anssi Vanjoki, salah seorang pengarah syarikat telekomunikasi penting dunia (ketika itu) iaitu Nokia, sedang memandu motosikal Harley Davidsonnya di Helsinki pada bulan Oktober, tahun 2002.
Sedang seronok dibuai angin, kelajuan yang dicapai oleh Anssi ketika itu adalah 75km/j pada kawasan had laju 50km/j.
Atas kesalahannya itu, Anssi dikenakan saman RM550,000 kerana pendapatannya pada itu mampu mencecah RM66 juta setahun. Perkiraan samannya diambil daripada pendapatannya selama 14 hari gaji beliau. (rujukan)
3. Lelaki jutawan disaman RM808,000
Bagi Jussi Salonoja, seorang pewaris perniagaan sosej yang menjadikannya antara lelaki terkaya di Finland.
Pendapatannya setahun dianggarkan bernilai RM33 juta jadi tidak menghairankan dia dikenakan tindakan saman berjumlah RM808,000 atas kesalahannya.
Apa yang membuatkan samannya menjadi setinggi itu adalah kerana dia memandu melebihi had laju dua kali ganda yang telah ditetapkan.
Pada kawasan bandar yang sibuk, Jussi memandu selaju 80km/j pada kawasan 40km/j. Pada ketika itu (2004), saman yang dikenakan pada Jussi adalah saman terbesar yang pernah dikeluarkan di Finland dan di dunia. (rujukan)
4. Diplomat asing disaman RM986,000
Seorang diplomat dari republik Guinea-Bissau didapati bersalah memandu kereta Ferrari Testarossa milik beliau di sebuah perkampungan di Switzerland.
Dengan menggunakan perkiraan pendapatan diplomat tersebut yang dianggarkan sekitar RM97 juta setahun, dia dikenakan saman sebanyak RM986,000.
Kelajuan yang dicatatkan semasa beliau melintasi kampung tersebut adalah 137km/j pada had laju 80km/h.
Diplomat tersebut berkata statusnya sebagai seorang diplomat mengelakkan dia daripada dikenakan saman, namun mahkamah Switzerland menolak hujah itu. Dia tetap disaman namun identitinya disembunyikan kerana dia seorang diplomat. (rujukan)
5. Pemandu paling pantas direkodkan di Sweden disaman RM3.1 juta
Bagi seorang hartawan Sweden yang tidak disebutkan namanya, dia baharu saja mengambil kereta yang ditempah; sebuah Mercedes SLS AMG di Jerman.
Merasa teruja dengan kereta baru itu, dia memandu pulang sendiri ke Sweden.
Sepanjang perjalanannya, dia memandu lebih daripada 200km/j tidak dapat dibaca pergerakannya, kerana kadar bacaan kamera hanya mampu merekodkan kelajuan 200km/j maksimum.
Bagaimanapun salah sebuah kamera versi baru berjaya merekodkan kelajuan beliau berada sekitar 300km/j.
Atas kelajuan luar biasa beliau itu serta pendapatan yang lumayan, kadar saman yang dikenakan padanya adalah RM3.1 juta.
Lelaki tersebut menyalahkan meter kelajuan kereta barunya itu sebagai tidak betul, membuatkan dia memandu lebih laju daripada sangkaan dia. (rujukan)
6. Anak sebabkan ayah kerugian RM9.3 juta
Kisah akhir kali ini sedikit berbeza.
Di Belanda, bagi menyelesaikan masalah pemandu memandu melebihi had laju, kerajaan Belanda membenarkan pihak penguatkuasa merampas kenderaan yang didapati bersalah.
Bagi Michel Perridon, pengarah kepada sebuah firma ICT multinasional Trust International BV, dia baru saja mengimport masuk kereta idamannya, sebuah Bugatti Veyron berharga RM9.3 juta, menjadikan Bugatti milik beliau adalah yang pertama di Belanda.
Namun anaknya, Thurs Perridon yang berumur 20 tahun mengidam hendak memandu kereta tersebut lalu menggunakannya secara curi-curi. Kenderaan mewah itu ditangkap melalui bandar Rotterdam pada kelajuan 160km/j di kawasan berhad laju 80km/j.
Ditahan polis kerana memandu melebihi had laju, pihak polis merampas kenderaan tersebut walaupun pemiliknya bukan pemandu ketika kejadian.
Lesen Thurs ditarik balik dan dia disaman mengikut kadar undang-undang Belanda yang tidak mengambil kira jumlah pendapatan, namun MIchel yang menanggung kerugian besar kebodohan anaknya