Ingatkan lari rumah, rupanya tersepit belakang peti sejuk selama 10 tahun, ini kisah bagaimana pemuda ini boleh tersepit
Kematian adalah sesuatu perkara yang pasti akan berlaku kepada setiap makhluk yang hidup. Namun cara ‘pemergian’ kita tiada siapa yang tahu.
Begitu juga dengan lelaki berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Larry Murillo-Moncado ini.
Lelaki ini ditemukan meninggal dunia setelah 10 tahun dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.
Apakah sebenarnya yang terjadi pada Larry sepanjang tempoh itu?
Lapor KETV, Larry terakhir kali dilihat pada malam musim sejuk 28 November 2009, di mana dia dikatakan keluar dari rumah dengan memakai hoodie dan seluar biru. Namun dia hanya keluar berkaki ayam tanpa membawa kunci dan tidak menaiki keretanya.
Menurut The Washington Post, tubuh Larry ditemukan di belakang peti sejuk di sebuah pasar raya di Iowa, tepatnya di celah-celah ruang 18 inci antara peti sejuk tersebut dengan dinding.
Larry yang juga merupakan salah seorang pekerja di pasar raya berkenaan dipercayai memanjat ke atas peti sejuk tersebut sebelum terjatuh dari ketinggian 12 kaki ke ruang belakang peti sejuk.
Menurut salah seorang bekas pekerja di pasar raya itu, para pekerja memang selalunya naik ke atas peti sejuk berkenaan, di mana ruang tersebut digunakan untuk menyimpan barang.
Oleh kerana peti sejuk berkenaan mengeluarkan bunyi yang sangat bising, ada kemungkinan bahawa suara Larry meminta tolong ‘tenggelam’ di sebalik bunyi tersebut dan tidak didengari sesiapa.
Pihak polis Council Bluffs menerima laporan pada 24 Januari 2019 berkait penemuan mayat. Tubuh Larry ditemukan oleh pihak penyelenggara yang ditugaskan untuk mengalih rak dan peti sejuk pasar raya berkenaan yang telah ditutup sejak tahun 2016.
Lapor KETV, ujian makmal mengesahkan mayat tersebut adalah Larry setelah dibandingkan dengan DNA kedua ibu bapa kandungnya. Hasil bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda trauma pada tubuh Larry dan kes dikategorikan sebagai kematian akibat kemalangan.