‘Individu yang ingin mohon kewarganegaraan perlu fasih Bahasa Melayu’-Senator DAP

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Dalam Negeri disarankan agar bersama-sama menilai tahap kefasihan bahasa kebangsaan

setiap individu yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan secara naturalisasi.

Senator Datuk A. Kesavadas menyatakan bahawa penilaian itu perlu dilakukan tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat, sama ada selebriti, ahli perniagaan, atau pemain bola sepak profesional.

'Individu yang ingin mohon kewarganegaraan perlu fasih Bahasa Melayu'-Senator DAP

“Mereka yang ingin memperoleh kewarganegaraan haruslah mahir dalam berkomunikasi dan menulis dalam bahasa kebangsaan. Apa gunanya menjadi rakyat Malaysia jika tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa kebangsaan?

Bukankah ini memalukan, apabila pekerja asing dapat bertutur fasih dalam bahasa kebangsaan seolah-olah mereka adalah warganegara kita,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Senator Michael Mujah Lihan pula mencadangkan agar Kementerian Perpaduan menumpukan kepada program yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat melalui penganjuran program kebudayaan, kesenian, dan warisan.

“Ini adalah langkah baik dalam memastikan kita memahami sejarah, agama, kaum, dan adat resam sesuatu budaya. Ia harus dipertahankan dan disemai dalam jiwa kita sebagai rumpun perpaduan yang lebih segar, mengikut arus masa,” katanya.

Pada sesi yang sama, Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perpaduan atas cadangan mereka agar lafaz ikrar Rukun Negara dibaca secara penuh di setiap sesi pembukaan penggal Parlimen.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa memperbaharui ikrar untuk membina identiti kebangsaan.

Semangat kenegaraan dengan nilai-nilai Rukun Negara adalah penting untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum,” katanya, sambil meminta kerajaan merangka dasar yang kuat untuk memperkasakan perpaduan rakyat.

Titah sulung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari yang lalu menekankan keperluan merangka dasar kukuh bagi perpaduan negara, isu birokrasi, serta kestabilan politik.

BACA: Kisah bayi kembar kehilangan ibu dan ayah selepas mereka dilahirkan bikin netizen sebak