Antara punca mengapa semakin ramai individu menjadi muflis adalah kerana terlalu melayan kehendak untuk mendapatkan barangan mewah.
Mereka sanggup berhutang atau membuat ansuran walaupun sebenarnya tidak berkemampuan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Betterman Chan berkongsi dua keping tangkap layar yang menunjukkan
perbualan antara dirinya dengan seorang individu yang ingin membeli iPhone terbaharu melalui kedainya.
Pada mulanya, individu tersebut bertanya tentang prosedur bayaran ansuran dan model iPhone yang ditawarkan oleh kedai gajet itu.
Chan kemudian memaklumkan bahawa fasiliti ansuran hanya tersedia untuk mereka yang tiada slip gaji dan menceritakan tentang kejadian di mana terdapat pembeli yang tidak membuat bayaran selepas mendapatkan pelan ansuran dengan tempoh yang lama.
Namun, individu tersebut masih bertegas untuk mendapatkan ansuran telefon idamannya dengan kadar bulanan yang rendah serta tempoh kontrak selama 5 tahun.
Permintaan individu tersebut ditolak oleh penjual kerana tempoh ansuran yang terlalu lama, seolah-olah seperti membeli kereta pula.
Chan malah mencadangkan alternatif kepada individu tersebut untuk berurusan dengan syarikat yang menawarkan pinjaman seperti Aeon Credit dan JCL.
Dalam hantaran tersebut, Chan berseloroh dengan mengatakan syarikat mana yang sanggup memenuhi permintaan ‘gila’ individu terbabit. Katanya, dia sudah tidak boleh menerima permintaan sedemikian lagi.
Hantaran Chan ternyata mendapat perhatian netizen, yang rata-ratanya meluahkan kekaguman dengan kerenah segelintir individu yang tidak mengukur kemampuan diri sendiri.
Sebahagian netizen lain menasihati individu tersebut untuk membuat simpanan secukupnya terlebih dahulu sebelum membuat pembelian secara tunai.
BACA: ‘Cerita dalam podcast tu banyak ditokok tambah’ Jep Sepahtu tuju kepada podcast Shuib ke?