Ibu tak nampak pengorbanan anak, ‘sedap’ tuduh boros pula

Oleh SURIANI HAMDAN

Bukan mudah bergelar anak sulung, apatah lagi dilahirkan dalam keluarga yang sederhana.

Lebih parah apabila bilangan adik beradik ramai, maka perbelanjaan keluarga juga tinggi dan memerlukan kewangan stabil.

Begitulah kehidupan gadis berusia 24 tahun ini yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dan adik-adiknya masih kecil dan bersekolah.

Bapanya yang berusia 57 tahun bekerja makan gaji dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000, manakala ibunya berumur 48 tahun pula merupakan suri rumah.

“Aku pula dah bekerja selama enam tahun dengan gaji bulanan sekarang RM2,000.

Ibu tak nampak pengorbanan anak, ‘sedap’ tuduh boros pula

Aku jenis tak kisah mulut orang lain tapi mulut seorang ibu yang ‘tajam’ berjaya downkan hidup aku.

“Selama 24 tahun, aku kuat sebagai seorang kakak yang tak ada apa-apa. Ibu cakap selama enam tahun aku kerja, tak ada simpanan pun,” luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bercerita lanjut, gadis itu mengakui dirinya tidak mempunyai simpanan di bank memandangkan gaji bulanannya banyak diperuntukkan untuk perbelanjaan keluarga.

Apa yang dikesalkannya, sebahagian perbelanjaan itu dilakukan demi memberi keselesaan dan kemudahan ibu bapanya tanpa disedari mereka.

“Duit gaji aku semua habis untuk famili. Ibu mengadu penat masak air, aku pasangkan penapis air. Bapa aku nak kereta MPV (kenderaan pelbagai guna) sebab adik-adik ramai.

“Aku buat loan MPV sebulan lebih RM700. Mesin basuh rosak, ibu saudara cakap ‘kakak kerja, takkan tak mampu belikan mesin basuh untuk mama’. Lepas tu aku belikan,” ujarnya yang masih bujang.

Bukan soal berkira. Kalau berkira, satu sen pun aku tak bagi dekat famili.
ANAK SULUNG
Bukan sekadar sanggup membuat pinjaman bank demi keselesaan keluarganya, dia juga rela tidak membeli apa-apa untuk dirinya sendiri.

“Aku nothing, rasa macam tak ada perubahan langsung dalam diri sejak habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dulu. Aku hadkan kehidupan aku, aku tak tengok kehidupan orang lain sebab nanti aku cemburu.

“Tapi tak sangka seorang ibu boleh cakap aku boros. Ya Allah, mengalir air mata aku. Hancur dunia aku, pengorbanan aku tu ibu tak nampak.

“Yang dia nampak aku boros sebab tak ada simpanan. Aku dah asingkan duit simpanan pun dia boleh minta sikit-sikit,” katanya lagi.

Kebanyakan wang dihabiskan untuk perbelanjaan keluarga. -Gambar hiasan

Jauh di sudut hati, timbul tanda tanya adakah berdosa sekiranya dia jujur mengatakan dirinya tidak mempunyai wang simpanan.

“Lembut sangat ke hati aku? Berdosa ke kalau aku cakap aku tak ada duit? Aku tertekan sebagai anak sulung yang tak ada tempat meluahkan.

“Bukan soal berkira. Kalau berkira, satu sen pun aku tak bagi dekat famili. Hampir semua duit gaji aku berhabis untuk mereka.

“Tolak duit minyak motosikal dengan makan aku je. Shopping barang online pun empat bulan sekali je,” tambahnya.

Mengimbau kembali insiden yang berlaku tiga tahun lalu, katanya, dia pernah menyerahkan wang berjumlah RM3,000 kepada ibunya untuk disimpan.

“Itu duit gaji campur komisen dan bonus untuk disimpan. Akhirnya duit tu habis macam tu je. Bila aku tanya mana duit tu, dia kata ‘buat beli barang dapur dengan duit sekolah adik kau’.

“Dia cakap ‘tarik’ sikit-sikit duit tu dah habis. Aku terkedu, aku down sangat-sangat kali ini,” katanya lagi mengakhiri luahan perasaan.

BACA: Arab Saudi rasmi terpilih jadi tuan rumah Piala Dunia 2034