Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan akses pendidikan formal dan berstruktur untuk lebih
300 kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan, bermula 1 Oktober ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian memberi perhatian dan komitmen tinggi
untuk memastikan kanak-kanak tersebut mendapat pendidikan sepenuhnya.
“Kita bimbang sekiranya mereka tertinggal sepanjang proses siasatan ini berlaku. KPM mengambil tanggungjawab
untuk memastikan pendidikan mereka dijamin,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPM.
Beliau menjelaskan bahawa sesi penilaian akan dilakukan terlebih dahulu untuk mengenal pasti tahap kemahiran anak-anak tersebut, termasuk penguasaan kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M), serta sesi kaunseling.
“Selepas semua sesi tersebut selesai, KPM akan mengambil alih dalam isu pendidikan,” tambah Fadhlina.
Menurutnya, modul khas dan intervensi akan dilakukan untuk kumpulan tersebut berdasarkan tiga kohort iaitu pra sekolah, sekolah rendah, dan menengah.
“Pertama, mereka tidak berada dalam sekolah biasa dan tidak bersama dengan anak arus perdana. Jadi, KPM pernah melaksanakan modul khas sebelum ini dan kita percaya ada isu yang perlu ditangani secara spesifik,” katanya.
Sejak 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan melalui serbuan di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebahagian ibu bapa daripada 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal kendalian GISBH.
Sebanyak 149 kanak-kanak berusia antara setahun hingga 10 tahun telah diberi perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat lokasi selamat.
Baki 243 mangsa masih ditempatkan di Pulapol dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pendidikan 1996, Fadhlina berkata pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.
“Anak-anak yang dinafikan persekolahan adalah isu serius kerana akta ini mewajibkan perkara tersebut. Kita sedang melihat isu ini dengan serius dan pasukan undang-undang sedang meneliti. Jika tindakan diambil, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
BACA: Nak sarung baju putih tapi dah kekuningan? Boleh bersih dan kekal putih guna 5 bahan je!