i-Sinar : 50,000 komen kemarahan netizen banjiri facebook Najib

i-Sinar : 50,000 komen kemarahan netizen banjiri facebook Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP tanpa syarat, memberi amaran ketika ini banyak pencarum sudah menjadi “pencarut”.

Katanya, skim i-Sinar masih mempunyai kekurangan yang mengundang kemarahan pencarum yang kecewa.

“Ramai pencarum sudah bertukar menjadi pencarut,” kata beliau.

“Sebab itu, saya tuntut kerajaan Perikatan Nasional untuk sekali lagi menambah baik skim i-Sinar dengan tidak lagi mengenakan apa-apa syarat bagi mana-mana ahli yang ingin mengeluarkan simpanan mereka untuk menghadapi krisis pandemik yang sudah melanda kita selama 10 bulan,” tambah beliau.

Najib berkata kerajaan harus memberikan budi bicara sepenuhnya kepada pencarum mengeluarkan caruman mereka tanpa syarat kerana “rakyat sendiri yang tahu jika mereka sedang berdepan dengan cabaran kewangan.

Najib berkata pencarum tidak akan mensia-siakan simpanan masa tua mereka jika tiada keperluan mendesak.

Beliau turut mempersoalkan kekangan kerajaan yang tidak lojik untuk pengeluaran caruman itu.

“Adakah ianya logik bahawa ahli yang pendapatannya RM10,000 sebulan yang turun 30% menjadi RM7,000 sebulan dianggap terjejas tetapi ahli yang pendapatannya RM2,000 sebulan yang turun 20% menjadi RM1,600 tidak dikira sebagai terjejas?” tanya bekas perdana menteri itu.

Najib berkata, bukan tanggungjawab kerajaan untuk membuat andaian ahli mana yang sedang terdesak dengan meletakkan syarat arbitrari bahawa pendapatan ahli perlu berkurang 30% sebelum layak.

“Sebaliknya, tanggungjawab kerajaan ialah untuk mempermudahkan bagi rakyat dan untuk mencari jalan untuk memastikan simpanan KWSP dapat dipulihkan pada masa tersingkat setelah pandemik Covid berakhir,” kata beliau.

Beliau berkata syarat pengeluaran caruman yang diumumkan kerajaan untuk kategori kedua semalam bermakna mereka yang terbabit terpaksa menunggu “3 bulan lagi sebelum diberi ‘pelampung’”.

Kategori 2 adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas.

Mereka hanya boleh membuat permohonan bermula 11 Jan 2021 tetapi perlu mengemukakan pelbagai bukti dokuman.

Najib berkata selepas itu mereka dikehedaki menunggu 2 hingga 3 minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak dan bayaran akan dibuat akhir bulan Februari.

“Adakah ianya munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu 3 bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu 5 bulan dahulu?

Najib berkata KWSP harus menghapuskan syarat pengeluaran caruman itu jika tidak mahu melihat pencarum membanjiri pejabatnya untuk mengemukakan dokuman berkenaan.

“Sejak semalam, media-media melapor bahawa pejabat-pejabat KWSP sudahpun sesak akibat diserbu ahli.

“Bayangkan berapa ramai lagi ahli yang akan terdedah kepada risiko dijangkit Covid-19 jika mereka terpaksa beratur di pejabat KWSP untuk serah bukti dokumen jika i-Sinar masih bersyarat?” kata beliau.

Najib berkata apabila skim i-Sinar tidak lagi bersyarat maka semua beban kepada ahli dan staff kaunter KWSP dapat dielakkan kerana kebanyakkan ahli akan memohon dalam talian melalui perkhidmatan i-Akaun tanpa hadir di pejabat KWSP.

“Justeru, proses pengeluaran akan menjadi jauh lebih lancar dan ahli tidak perlu lagi tunggu sehingga 3 bulan sebelum menerima bayaran lump-sum pertama,” kata beliau.

Najib menggesa kerajaan membuat penambahbaikan kepada skim i-Sinar sekali lagi dengan memansuhkan apa juga syarat yang dikenakan serta memastikan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama disingkatkan dari 3 bulan ke maksimum 1 bulan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/03/benarkan-pengeluaran-kwsp-tanpa-syarat-najib-beri-amaran-pencarum-sudah-jadi-pencarut/