Hidup musnah selepas ‘sign’ satu dokumen, pemuda ini diambang muflis

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Masyarakat sering menjadikan perniagaan bersama rakan baik sebagai simbolik persahabatan, namun tidak semua kisah berakhir dengan indah

. Seorang lelaki berkongsi pengalaman pahitnya menjalankan perniagaan bersama rakan kongsi yang dipercayainya sepenuhnya.

Sebagai rakan kongsi, segala urusan, termasuk kewangan, dikongsi bersama.

Namun, kepercayaan yang diberi akhirnya memakan diri apabila rakannya bertindak melaburkan semua wang syarikat,

termasuk pinjaman bank, ke dalam perniagaan lain tanpa pengetahuannya. Lebih mengejutkan, syarikat ketiga itu adalah milik peribadi rakannya.

Hidup musnah selepas ‘sign’ satu dokumen, pemuda ini diambang muflis

“Silap saya adalah menyerahkan keseluruhan urusan kewangan kepada rakan kongsi tanpa memantau. Dia mengeluarkan wang syarikat dan pinjaman, kemudian masukkannya ke syarikat lain yang hanya miliknya,” luah lelaki itu dengan nada kesal.

Ketika masalah ini disedari, dia cuba meminta rakannya memulangkan wang tersebut, tetapi permintaan itu diabaikan. Lebih memburukkan keadaan, rakannya enggan membayar pinjaman bank meskipun mereka bersama-sama bertindak sebagai penjamin.

“Saya kerap dihubungi oleh pihak bank. Mereka memaklumkan bahawa akaun saya akan dibekukan dan saya mungkin dikenakan tindakan undang-undang hingga muflis,” tambahnya lagi.

Cadangan untuk menjual aset syarikat bagi melangsaikan hutang juga tidak diterima oleh rakannya, menyebabkan dia terperangkap dalam situasi kewangan yang sukar.

Nasihat Warga Maya dan Tindakan Disyorkan
Perkongsian lelaki itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menyarankan agar dia mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan kongsinya.

“Ini sudah masuk kategori pecah amanah. Lapor kepada polis dan buat aduan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Anda juga boleh memfailkan saman sivil untuk mendapatkan ganti rugi,” kata seorang pengguna.

Seorang lagi turut berkongsi pengalaman serupa: “Saya pernah melalui perkara ini. Bisnes musnah, rumah tangga juga hancur. Pengajaran besar adalah untuk sentiasa memantau perjalanan kewangan syarikat walaupun dengan rakan baik.”

Kes ini menjadi peringatan bahawa dalam perniagaan, kepercayaan harus diiringi dengan pemantauan dan pengurusan kewangan yang telus. Rakan kongsi yang dipercayai mungkin juga boleh menjadi punca keruntuhan perniagaan jika tiada kawalan yang ketat.

BACA: “Stress murid lebih penting. Diambil maklum” Kementerian Pendidikan abai kesihatan mental guru?