Rozelinda Mustapa, atau mesra dipanggil Kak Zel, berjaya membawa pulang gelaran juara dalam pertandingan memasak
RASA x BABA’S ‘Kisah Kari Ku’ yang berlangsung di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Hidangan istimewanya, kari ketam ala India, menambat hati juri dan membolehkannya
Membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM5,000, mengalahkan lima finalis lain.
Menurut Kak Zel, inspirasi untuk masakan itu datang daripada rakan karibnya, Guna, seorang berbangsa India yang memperkenalkannya kepada kari India sejak zaman persekolahan pada tahun 1980-an.
“Saya jatuh cinta dengan kari India sejak Guna selalu membawa bekal tosei dan kari ke sekolah. Dia jarang habiskan makanannya, dan saya akan tolong habiskan. Bau kari itu melekat di tangan saya hingga balik ke rumah,” ujar Kak Zel sambil tersenyum.
Bagi mengenang nostalgia itu, Kak Zel memilih kari ketam ala India untuk pertandingan ini, sekaligus mencipta kenangan manis yang baru.
Beliau turut berterima kasih kepada produk rempah BABA’S yang menjadi bahan utama dalam resepinya.
“Rempah BABA’S banyak membantu mengekalkan keaslian rasa kari ini. Ia mengingatkan saya kepada bekal kari yang dibawa oleh Guna dulu,” tambahnya.
Keberanian Memodifikasi Masakan Dipuji
Juri pertandingan terdiri daripada cef selebriti Adu Amran, Ketua Pemasaran BABA’S Azrain Mohamad, dan Pengurus Editor RASA Susi Emmarini. Cef Adu memuji kreativiti Kak Zel yang menggabungkan elemen kari India dan Melayu.
“Kari India biasanya tidak menggunakan santan, tetapi Kak Zel menambahnya untuk menyesuaikan dengan cita rasa tempatan. Gabungan ini sangat menarik,” ujar Cef Adu.
Azrain pula memuji persaingan sengit antara peserta, dengan pemenang dan naib juara hanya dipisahkan satu mata.
“Kami menilai kreativiti, penggunaan produk BABA’S, kebersihan, dan cerita di sebalik hidangan. Semua peserta berjaya mempamerkan kehebatan masing-masing,” kata Azrain.
Keunikan Juadah Peserta Lain
Naib juara, Mohd Hilmi Mohd Alias Ahmad, memenangi RM3,000 dengan hidangan gulai pisang ikan bilis, inspirasi daripada resipi turun-temurun ibunya.
“Pisang jari buaya yang kami gunakan adalah bahan istimewa. Resipi ini mengingatkan saya kepada mak yang kini kurang sihat,” ujar Hilmi.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Siti Mahirah Awang, yang menyediakan kari ikan kerapu, menerima hadiah wang tunai RM1,500.
“Saya mahu buktikan orang Kelantan juga mampu masak kari. Resipi ini saya pelajari dari keluarga mak yang berasal dari Pulau Pinang,” jelas Mahirah.
Finalis lain membawa pulang hadiah sagu hati RM500 setiap seorang, manakala 20 peserta lain yang terpilih menerima RM200. Keseluruhan hadiah berjumlah RM15,000.
Pertandingan julung kali ini diadakan sempena sambutan Hari Kari Malaysia pada 30 Julai dan bertujuan meraikan keunikan masakan kari di Malaysia yang merentasi pelbagai budaya dan tradisi.
BACA: Tak sangka! Rupanya Afrika Selatan bukan nama sebuah negara