“Hati aku hancur, paling sakit, mak bagi duit aku kat jantan tu, depan aku macam tak bersalah. patutlah mak bagi dia tidur di rumah rupanya dia..”
Dari kecik mak benci aku, aku nekad lari dari rumah duduk asrama tapi bila duduk asrama aku kena tuduh mencuri.
Sekali lagi aku lari. Aku jadi kuli sebab takde SPM. Mak kemalangan, takde anak-anak sanggup cuci kencing berak mak.. aku balik..
Hai semua. Apa yang aku nak ceritakan ni secebis dari hidup aku. Yang mana buruk jadikan pengajaran.
Nama aku Rose, aku anak nombor 2 dari 6 adik beradik. Aku dalam lingkungan umur 20-an dan ada sorang anak.
Aku masih lagi tinggal dengan mak aku. Masih lagi mengangur. Memori semasa kecil aku tidaklah seindah kanak-kanak lain. Aku selalu dipukul, dimaki hamun oleh mak aku. Aku juga objek untuk mak aku lepaskan kemarahan.
Apa saja kesalahan abang atau adik-adik, aku yang menanggung akibatnya. Syukur Tuhan gantikan kasih sayang ibu dan ayah dengan panjangkan umur kedua moyang ku. Aku menumpang kasih mereka sehingga aku berusia 11 tahun. Di mana abah?
Bagi aku abah dah lama takde. Hadir semata nak mak aku layan dia, pergi tanpa tinggalkan sesen pun. Yang membesarkan kami cuma mak. Aku pernah merasa cemburu bila melihat sahabat aku pulang sekolah dijemput ayah, sedangkan aku mengayuh basikal berkilometer untuk sampai ke rumah.
Adik, mak pasti akan menjemput mereka. Itupun masih mak kata aku, “perut hijau”, berdengki dengan adik-adik. Entah apa salah aku, aku tak mampu mengingatinya. Di usia remaja, aku masih perlu mengayuh basikal ke sekolah, aku akui lebih selesa begini. Aku mula faham yang aku tak boleh menyusahkan mak.
Aku beralah dari segi wang saku. Tak apalah, mak tak mampu nak bagi aku duit macam abang, dan adik ku. Pakaian aku juga tak pernah berganti, kalau ada pun semua baju dan seluar orang sedekah. Syukur. Hari raya seingat aku, aku sudah tak merayakan ia selepas kem4tian moyang ku.
Aku pun mengelak dari di belikan baju raya. Membazir. Di sebabkan aku tak pandai bergaul, aku tak ramai kawan. Kawan yang rapat dengan aku pasti tahu setiap kali aku jadi mangsa di rumah, dimaki hamun, mereka lah tempat aku bercerita. Cikgu kaunseling?
Cukuplah sekali aku bercerita, satu sekolah tahu aib aku. Di sebabkan selalu jadi mangsa ibu, aku nekad selepas PMR, aku mesti sambung belajar di kolej vokasional, biar jauh dari keluarga. Syukur Tuhan permudahkan segalanya.
Aku berjaya mendapat tawaran vokasional dan aku seronok sangat bila dapat tinggal di asrama. Aku fikir takkan ada lagi siksaan. Tapi aku silap. Bila di asrama, sistem senior junior masih kuat. Tambahan pulak tahun itu tahun terakhir SPMV.
Berlemak lah pelajar tingkatan 5. Tiap malam pasti ada roll call, aku di sana sedaya upaya mengelak dari mencari masalah dengan senior. Tapi makin dielak, makin banyak yang tak berpuas hati dengan aku. Bila aku di tahun ke 2, aku menjadi senior, dan aku telah janji tak akan mengulangi budaya tak masuk akal tu.
Aku tak mempunyai kawan kerana aku tak mampu nak bermewah di asrama. Itupun aku bersyukur sangat, kurang kawan, kurang masalah. Ada satu peristiwa di asrama yang mengubah semua tentang aku. Aku dituduh mencuri telefon junior. Tapi sebijik telefon pun tak jumpa dekat aku.
Mereka paksa aku minum air yassin kononnya siapa yang ambil akan berasa panas, yang bijakya masatu aku baru naik dari prep, panas. Terus percaya dan yakin akulah pencuri tu. Takkan aku maafkan semua yang terlibat dalam kejadian tu. Aku nekad berhenti belajar.
Dalam keadaan hidup tak ada arah, aku cuba bekerja. Tapi disebabkan aku tak ada SPM, kerja kuli saja yang sesuai dengan aku. Aku fikir hidup aku akan berubah ke arah lebih baik, tetapi perancangan Tuhan lebih dari itu..
Aku mengandung di usia muda tanpa suami. Aku hilang arah, aku takut dengan mak aku. Aku cuba gugurkan, tapi tak berjaya. Ini antara kebodohan paling aku menyesal. Aku lahirkan anak aku tanpa seorang pun menemani aku.
Mak? Dah tahu sebab surat dari JKM sampai di rumah. Disebabkan aku jadi macam ni, aku usaha cari kerja yang jauh dari negeri asal ku. Aku jumpa bermacam jenis manusia. Ada yang menpergunakan aku demi kesenangan mereka tak kurang juga yang menerima aku seperti keluarga. Kini sudah setahun aku mengangur..
Aku terpaksa pulang ke kampung dengan anak aku setelah mak aku kemalangan. Tiada siapa yang sanggup membasuh berak kencing mak. Adik adik aku semua sudah berumahtangga. Aku keraskan hati menjaga mak, Tuhan saja yang tahu tiap kali aku berada depan dia pasti ada caci maki dari mulut mak. Aku sabarkan hati. Dia mak aku, 1 saja dekat dunia ni.
Sekarang mak dah boleh berjalan seperti biasa. Aku perlu mencari nafkah untuk anak aku. Jadi aku mohon doa kalian doakan aku dapat kerja yang lebih baik. Dan doakan aku supaya kuat. Aku terpaksa skip beberapa bahagian yang bagi aku cukuplah Tuhan saja yang tahu. Aku menulis kerana aku tak mampu nak bertahan lagi. Aku bimbang mulut aku keluarkan kata -kata yang akan menyakitkan hati mak aku.
Sambungan.. Hi semua. Aku nak ucapkan terima kasih atas komen kamu semua. Kamu mungkin beranggapan sekadar komentar biasa, tapi bagi aku ia satu semangat. Terima kasih semua. Ada yang komen kenapa cerita tak lengkap?
Di sini aku mengumpul semangat untuk imbas kembali dan moga takkan ada airmata lagi semasa aku menaip. Mari aku ceritakan kisah hidup aku. Setelah aku berhenti belajar, aku masih menumpang di rumah mak. Sepanjang masa itu, aku bekerja seperti biasa.
Semua duit gaji aku walaupun tak seberapa, aku bagi pada mak. Yang ada dekat aku cukup sekadar tambang bas. Masa tu aku takda telefon lagi, jadi kuranglah belanja. Aku tak pernah nak gunakan duit gaji aku untuk belanja diri sendiri.
Naif sungguh aku masa tu. Aku ikutkan semua kehendak mak. Sampailah satu hari… Hari tu aku terima seorang tetamu, mak kata dia adik abah aku. Aku pelik. Kenapa muka tak sama macam abah? Kenapa dia tak bercakap dengan loghat negeri abah?
Nama dia juga tiada gelaran macam abah? Ya aku akui aku tak rapat dengan abah tapi 1 benda yang aku pasti lelaki itu bukan adik abah. Dia orang luar. Disebabkan abang aku dan adik lelaki aku mengabaikan pertanyaan aku, aku bertindak sebagai pelindung adik aku yang kecil, aku cari tahu siapa lelaki tu.
Aku paksa adik aku tanya nama dia, aku buka Facebook mak aku. Oh ya Facebook ni aku berjaya pecahkan kata laluan nya. Tahu apa yang aku jumpa? Lelaki tu berbini, beranak 3 dan paling penting dia bukan adik abah. Aku buka mesej fb, wah kemain ya kau merayu mak!
Paling aku sakit duit aku mak bagi dekat jantan keparat tu. Depan muka aku seolah-olah tak bersalah. Patutlah mak bagi dia tidur di rumah rupanya anak ikan mak. Masa tu, demi Tuhan hati aku dah hancur. Aku tak faham kenapa mak macam ni? Nak salahkan abah? Kenapa tak selesaikan saja masalah mereka? Berpisah lah.
Kenapa nak bela anak ikan? Hidup pun tak cukup makan, sanggup bela suami orang lain. Korang boleh faham tak perasaan budak 17 tahun masa tu? Aku takda siapa dah. Aku keluar dari rumah, sebelum aku keluar aku maki jantan sial tu, memang ada naik tangan dengan mak. Dapatlah parut bawah mata aku, kekal sehingga hari ini.
Aku rasa berdosa dalam masa sama jijik dengan mak aku. Mak aku tak duduk diam, kebetulan pakcik aku balik, dia buat fitnah ke atas aku. Dia tak bercerita kenapa aku mengamuk, dia cuma cerita aku naik tangan dekat dia.
Jadi petang hari tu, aku diheret berjumpa dengan pakcik aku. Aku menangis sebab terlalu banyak benda aku pendamkan. Pakcik aku tak bertanya apa, buku lima tempat dekat perut aku. Lepas dia rimbuk, baru dia tanya.
Komando style kot.. Aku cerita semua. Tergamam orang tua tu, tok aku yang batu api pun terdiam. Aku keluar dan sewa di luar. Hiduplah seperti tiada batas. Tak solat, tak puasa dan waktu inilah aku hancurkan hidup aku dengan bergaul dengan lelaki.
Jangan tiru macam aku, semua ini kesilapan yang takkan mampu dipadamkan. 20 tahun, aku disahkan mengandung. Sekali lagi bergegar hidup aku. Bertambah kacau aku tak tahu macam mana dan apa patut aku buat. Aku tiada tempat bergantung.
Lelaki yang bertanggungjawab, macam biasa hilang. Akhir yang aku dapat tahu, dia baru berkahwin. Itu antara kisah yang aku tak tulis sebab nak ingat memori lama tu sangat lah sakit. Aku baru teringat, kenapa mak kata aku perut hijau berdengki dengan adik-adik.
Aku ada adik lelaki yang terpaksa diserahkan pada orang sebab masatu mak dah lahirkan anak ke 4, tetapi anak nombor 2 dan 3 takda surat beranak. Macam biasa abah aku tak buat sebab kalau tak silap aku, abah dan mak tak daftar nikah di negara. Dan mak aku bini nombor 2.
Faham sendiri lah dulu macam mana undang-undang. Ini jugak sebab mak aku tak uruskan penceraian mereka sebab banyak duit nak kena keluar. Bila makcik yang nak ambil adik aku tu tanya kepada aku, “Bagi tak makcik ambik adik?” Aku balas, ‘bagi’.
Mungkin itulah sebenarnya punca dendam mak dengan aku. Kenapa nak bagi kalau tak nak? Kalau benci aku, kenapa tak serahkan aku saja? Kita berbalik pada masa sekarang. Aku berkerja dan aku tinggalkan anak aku dalam jagaan mak.
Pada mula berkerja aku janji akan bagi duit bulan, dan minta mak masukkan anak aku ke sekolah. Tahu tak apa jadi? Mak aku kata anak aku taknak sekolah. Dan dia letakkan anak aku di rumah adik perempuan aku. Aku selalu video call anak aku, aku nampak dia ikut makcik dia berkerja. Tengah panas.<
Aku tanya adik aku, kenapa ambil anak aku, rupanya kalau tak ambil siapa nak jaga. Duit aku bagi tu siapa pegang? Mak. Dia bagi tak kat anak aku belanja? Tak. Duit tu dia dan adik aku yang lain guna. Tiap hari makan luar.
Anak aku demam sakit baru dia keluarkan duit beli ubat. Aku masa tu nekad nak bagi duit dekat adik aku. Dapatlah dia gunakan untuk anak aku. Dia pun dah bersuami masih juga sanggup jaga anak aku. Duit gaji aku boleh dikatakan 80 peratus aku hantar ke kampung, aku tidak menyimpan.
Jadi bila nak mulakan hidup balik susah sangat. Aku harap sangat kalau sesiapa yang ada peluang kerja yang sediakan tempat tinggal dan pengangkutan, tolonglah aku. Yang komen tentang Giatmara tu, bukan aku taknak cuba, aku takda kenderaan. Aku nak keluar cari kerja di pekan pun mak aku kata aku pergi jumpa jantan. Terima kasih sudi baca luahan aku. – Rose (Bukan nama sebenar)
BACA:
Patutlah banyak negara haramkan ganja, rupanya ini khasiat daun ganja yang ramai tak tahu