Pelakon dan pempengaruh media sosial, Harris Anuar telah berkongsi bahawa ibunya, usahawan kosmetik Zaiton Hassan,
atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, masih menjalani rawatan perubatan Islam selepas dipercayai disihir sejak tahun 2016.
Harris, yang nama penuhnya adalah Mohammad Harris Shahrul Annuar, juga memaklumkan bahawa ibunya
telah menjalani empat kali pembedahan dalam tempoh dua tahun kerana masalah sakit belakang yang muncul secara tiba-tiba.
“Mak saya sebenarnya kena sihir sejak 2016, dan cerita ini hanya keluarga yang tahu.
Mak ada berkongsi kepada umum sebab ramai yang bertanya ke mana Kak Ton menghilang,” jelas Harris.
Menurut Harris, dia tidak pasti siapa yang bertanggungjawab menghantar sihir tersebut, namun perubahan drastik pada ibunya, seperti sakit belakang tiba-tiba, berjalan membongkok, dan kaki menjadi kebas, menimbulkan kecurigaan.
“Mak perlu menjalani empat kali pembedahan dalam dua tahun. Doktor sendiri mengaku pelik sebab sakit itu tidak dapat dijelaskan secara saintifik. Doktor akhirnya menyarankan untuk menjalani rawatan Islam, dan memang sah mak saya terkena buatan orang,” tambah Harris.
Harris berkongsi kisah ini semasa ditemui di sidang media Muzikal Lawak Superstar yang diadakan di Zebra Square, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Selain itu, Harris turut mendedahkan ibunya pernah mengalami kejadian mistik lain, termasuk muntah buih ketika sedang berubat.
Bekas peserta Hero Remaja ini bagaimanapun bersyukur bahawa keadaan ibunya kini semakin pulih.
“Alhamdulillah, sekarang keadaannya semakin baik kerana kita dah tahu puncanya dan sering berubat. Kali pertama berubat, kaki yang kebas terus boleh bergerak.
Mak juga pernah muntah buih semasa rawatan, dan mak tak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini. Kaki mula kebas setiap kali nak keluar rumah sejak 2016, kemudian sakit belakang muncul pada 2019, dan pembedahan dilakukan pada 2023 dan 2024.”
Harris turut mengakui bahawa dia pernah terkena tempias daripada sihir yang dihantar kepada ibunya.
“Saya juga pernah terkena sedikit tempias, kadang-kadang nampak kelibat di rumah dan ketika keluar. Antaranya ialah pocong, dan ustaz pernah berkata, jika kita nampak pocong, itu tanda kita terkena tempias sihir,” ujarnya.
Tambah Harris, sihir terhadap ibunya sebenarnya sudah bermula sebelum tahun 2016 lagi, namun ketika itu ia menyerang perniagaannya, menyebabkan kedai Kak Ton tidak kelihatan oleh pelanggan. Selepas berubat, kedai kembali pulih, namun sihir datang semula.
Terdahulu, Kak Ton memaklumkan bahawa beliau kembali meneruskan perniagaannya selepas sembuh daripada gangguan sihir.
BACA:Intan Najuwa diejek rambut macam kekasih Popeye, lain pula jadi bila tuan badan sekolahkan netizen