“Hari-hari saya masuk tong sampah cari buah, sayur yang elok”. SAYUR atau buah yang hampir layu dan tidak dibeli orang ramai masih berguna kepada sesetengah orang termasuklah golongan yang menternak haiwan organik.
Zarah Alkhadri, 39, merupakan antara individu yang melakukan aktiviti ‘dumpster diving’ (selongkar tong sampah) untuk mengambil sayuran atau bahan lain yang dibuang di pasar pagi dan pasar besar, hampir setiap hari.
Dia yang mengusahakan Zarah Barakah Organic berkata mula melakukan aktiviti ‘dumpster diving’ sekitar empat bulan lalu selepas berpindah ke Setiu dari Kuala Terengganu.
Wanita itu berkata dia dahulunya menetap di Kuala Lumpur, dan berpindah ke Kuala Terengganu pada September 2020 untuk mengurangkan kos sara hidup.
Zarah mengakui dalam masyarakat kita, aktiviti ini tidak nampak pelik jika dilakukan di kawasan perkampungan atau luar bandar tetapi mungkin sedikit janggal jika dilakukan di bandar.
Dia menyelongkar tong sampah besar demi mencari sayur-sayuran atau bahan makanan lain yang biasanya tidak sesuai lagi untuk dijual, untuk diberi kepada haiwan ternakannya atau ditanam semula.
“Tak minta izin pun kerana ia bahan buangan yang tidak digunakan lagi. Tapi, kalau di kedai baru saya minta izin,” katanya.
Daun sup yang ditanam semula hasil ‘dumpster diving’ di kebun milik Zarah.
Bagaimanapun, ada masanya dia juga memperoleh sayur-sayuran seperti halia, serai, nanas dan kobis yang masih dalam keadaan baik untuk dimakan atau boleh ditanam semula.
“Mula ‘dumpster diving’ sebab bela ayam. Kami ingin bela ayam tanpa dedak untuk dagingnya yang lebih sihat.
“Pada asasnya, kami tidak mahu keluarkan kos yang banyak untuk ternak ayam.
“Selain itu, kami nak bantu kitar semula sisa organik, daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah lebih baik digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat,” katanya.
Bukan itu sahaja, dalam misi untuk mengurangkan kos sara hidup, dia juga mengutip sisa makanan di kedai makan atau hampas kelapa untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.
Zarah berpesan kepada mereka yang ingin mencuba ‘dumpster diving’ untuk terus pergi ke mana-mana tong sampah pasar ataupun berjumpa sendiri dengan peniaga untuk meminta sayur-sayuran yang ingin dibuang.
“Pasar di kawasan kampung, biasanya mereka dah tahu… mesti ambil untuk haiwan ternakan.
“Mereka akan terus tanya haiwan apa yang kita bela.
Kalau rasa bermanfaat, boleh saja nak ikut tetapi tolong buat kajian. Jangan ikut tanpa ilmu kerana perkara ini viral ataupun trending.
“Selalunya, mereka lebih dari gembira untuk bagi kepada sesiapa yang meminta,” katanya.
Wanita itu juga menasihati orang ramai yang ingin mencuba ‘dumpster diving’ supaya membuat sedikit kajian terlebih dahulu.
“Kalau rasa bermanfaat, boleh saja nak ikut tetapi tolong buat kajian. Jangan ikut tanpa ilmu kerana perkara ini viral ataupun trending.
“Segala maklumat yang saya berikan, hanyalah sekadar perkongsian,” ujarnya.
Video yang dimuat naik itu meraih lebih 600,000 tontonan dan 23,000 tanda suka di TikTok.
“Suami saya jaga pasar raya. Setiap hari ada bawa makanan dari kutipan seperti ini. Sekarang, buah dan sayur jarang beli, benda pilih-pilih banyak yang elok lagi.
“Kalau dekat pasar, banyak yang mereka buang tetapi dalam keadaan masih elok.
“Kehidupan yang mampan, saya suka!
“Dulu selalu pergi cari untuk arnab. Banyak sayur layu, dapatlah bagi arnab makan. Ada yang elok-elok juga.
“Saya selalu ambil di kedai-kedai atau pasar raya yang mereka letak di tong sampah untuk angsa makan,” demikian antara komen netizen.
Antara komen netizen di TikTok.
Mengenai perniagaannya, Zarah berkata dia menjual produk organik, kebanyakannya untuk merawat ekzema secara dalam talian sejak tahun 2013.
Selain itu, Zarah juga mengadakan kelas pembuatan sabun natural dari minyak masak terpakai yang selamat digunakan.
“Kami menjual produk yang kami buat dan tanam sendiri. Apa-apa yang dihasilkan untuk dijual semuanya kami buat, dan dipakai oleh keluarga kami sendiri.
“Saya kongsi tentang ‘dumpster diving’ ini juga supaya pelanggan rasa lebih yakin untuk membeli produk daripada bisnes kami,” ujarnya.
BACA JUGA :
Gurun bertukar tanah hijau di Arab Saudi
140 Ketua Bahagian UMNO sepakat tolak jawatan Presiden, timbalan tidak dipertandingkan