Haqiem Rusli dah hilang ‘taring’ selepas kahwin. KATA orang, ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Perumpaan tersebut sesuai menggambarkan perjalanan kerjaya seni pemilik nama lengkap, Ridzuan Haqiem Rusli atau nama pentasnya, Haqiem Rusli.
Sedari 2008 bergelumang dalam industri seni muzik tanah air, waktu itu susuk tubuh kecilnya menyertai sebuah pertandingan nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil dan bergelar naib juara.
Empat belas tahun waktu bergulir, Haqiem kini mengecap pelbagai kerjayaan antaranya koleksi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL), termasuklah pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2020 (ABPBH 2020).
Haqiem, 24, pernah berada pada zaman supremasinya apabila mendapat sokongan teguh peminat yang sentiasa mengangkat dan menjunjung tinggi namanya sebagai seorang anak seni.
Sungguhpun begitu, selepas mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu dengan wanita bernama Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, ada sesuatu dirasakan sudah berubah.
Kehangatan nikmat populariti seorang figura bernama artis yang sebelum ini hangat membakar perlahan-lahan malap.
HAQIEM reda andai populariti tidak lagi memihak kepadanya.
Kurang perhatian
“Sejujurnya, saya memang dapat rasakan perhatian daripada peminat sekarang agak berkurangan.
“Tapi, saya tak salahkan status ataupun keadaan tersebut, sebab bagi saya, ini perjalanan yang Tuhan sudah berikan kepada saya.
“Sebelum ini pun, saya sudah pernah terfikir andai suatu hari nanti saya jatuh atau nama tidak lagi disebut peminat, itu adalah perjalanan yang Tuhan dah caturkan buat saya,” katanya kepada HibGlam.
Haqiem berkata demikian ketika sesi santai bersama artis FMC yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam erti kata lain, anak kelahiran Hulu Langat, Selangor itu mengakui, semakin hari, semakin kurang mendapat kasih sayang dan dambaan perhatian peminat.
Namun, dia reda dengan ketentuan Ilahi andai populariti tidak lagi memihak dirinya terutama selepas menoktahkan zaman bujang.
Sungguhpun begitu, pelantun lagu Aku Hati Dan Perasaan itu tidak menyimpan rasa terkilan disebabkan apa yang berlaku, sebaliknya bersyukur kerana peminat tetap menghargai bakat muziknya sehingga sekarang.
“Bukanlah nak cakap saya ‘attention-seeker’ ke apa, bukan. Cuma, saya sudah terbiasa hidup begitu.
SELEPAS berstatus suami, Haqiem Rusli terasa perhatian peminat terhadapnya kini tidak sehangat semasa zaman bujang.
Bahagia
“Tapi, saya bahagia sahaja sekarang ini. Tiada banyak masalah sangat sebab cukup dengan makan minum, isteri dan keluarga. Sudah cukup sebenarnya. Tak rasa terkilan pun cuma sekarang ini, rasa lain sikit,” ujarnya.
Ditanya sama ada dirinya sudah memasang strategi untuk kembali menambat hati peminat, jawabnya:
“Itulah, ramai cakap saya ini dari dahulu sampai sekarang kurang pendedahan di media sosial.
“Saya sedar dan ramai yang nasihat tentang perihal tersebut.
“Sekarang pun, saya dah buat jadual bahagikan masa dengan peminat macam apa yang saya perlu muat naik dan apa yang tak perlu.
“Insya-Allah, selebihnya kita berserah kepada Yang Maha Esa.”
Diajak berbicara tentang perkembangan kerjaya terbaharu, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi lagu Mimpi itu teruja berkongsi single terkini berjudul Aku Hati Dan Perasaan yang merupakan hasil ciptaan sendiri.
Ujarnya, lagu berkenaan sangat berbeza daripada karya-karya yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Sebuah lagu yang lain daripada genre saya sebelum ini. Saya cuba membuat pembaharuan dari sudut itu (genre).
SERING mencipta ledakan dengan single hit yang menyita peminat, Haqiem mengakui sering berasa tertekan setiap kali berusaha menghasilkan sesebuah lagu baharu.
“Maksudnya, lagu ini nuansanya pop balada dan lebih rileks sikit.
“Tiada nada tinggi. Apa yang saya cuba nak sampaikan adalah, lagu sebagai suara untuk insan-insan yang takut meluahkan rasa dalam diri mereka.
“Contoh, macam mereka yang pernah berdepan dengan trauma atau kes dera, buli dan sebagainya.
“Jangan takut dan itulah apa saya cuba sampaikan,” katanya.
Bercerita lanjut tentang penghasilan lagu tersebut, Haqiem berkata, idea berkenaan terjentik sewaktu satu sesi ‘live’ Instagram.
“Waktu itu ilham dan rezeki nak tulis lagu sampai. Jadi, terlintaslah sekejap dalam fikiran dan memang antara tujuan saya nak menjadi suara kepada insan yang takut meluahkan rasa dalam diri mereka itu,” ungkapnya.
Dalam kalangan peminat, Haqiem sememangnya terkenal sebagai seorang pendendang dan penggubah lagu-lagu berentak balada.
“Justeru, lari sedikit daripada ‘forte’ (kepakaran), itulah cabaran yang sanggup didepaninya menerusi Aku Hati Dan Perasaan.
“Bukan saya cakap yang saya penat buat lagu balada sebab itu memang forte saya. Makanan saya, orang cakap.
“Sebenarnya, agak tertekan sebab saya kalau buat lagu, saya tak tahu benda itu akan jadi atau tidak.
“Mungkin telinga saya dengar, sedap tapi kadang-kadang orang lain, penerimaan mereka mungkin lain.
“Jujurnya, kalau satu lagu ‘boom’ tapi kalau buat lagi dan tak meletup, susah saya nak nafikan memang agak tertekan nak kembali dengan buah tangan baharu,” ulasnya menutup perbualan.
BACA:
Orang ramai terkejut tahu latar belakang pemuda Kelantan hina islam
‘Iklan syarikat dan jawatan yang sama, tapi tengoklah beza tawaran gaji Malaysia dan Singapura’
Hanya 3 minit cara buat susu pekat manis sendiri, mudah sangat!