Impian seorang lelaki untuk mendirikan rumah tangga musnah apabila ditipu oleh wanita yang disangkanya bakal isteri.
Dalam perkongsiannya di media sosial, lelaki itu menceritakan bagaimana persiapan perkahwinan telah hampir selesai.
Namun, menjelang hari yang dinantikan, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
“Saya dah beli semua hantaran, buat persiapan kahwin. Tapi perempuan ni pandai sangat berlakon, saya pun percaya,” luahnya kecewa.
Ketika dia berhasrat untuk bertemu keluarga wanita tersebut, alasan demi alasan diberikan, sehingga membuatkan dia rasa dirinya telah ditipu.
Penipuan Terbongkar
Berasa curiga, lelaki itu menggunakan Google untuk menyiasat latar belakang wanita tersebut. Hasilnya, dia berjaya menghubungi pejabat wanita itu, dan beberapa rakan sekerja mengesahkan perkara yang mengejutkan – wanita itu sebenarnya sudah berkahwin.
“Saya buat carian Google nama dia dan dapat telefon pejabat dia. Tiga hingga empat orang cakap dia sebenarnya sudah berkahwin,” jelasnya.
Selama tempoh perkenalan, lelaki itu mengaku telah memberikan sejumlah wang kepada wanita tersebut. Namun, selepas berjaya mendapatkan nombor kad pengenalan wanita itu, dia mendapati maklumat yang diberi selama ini semuanya palsu.
“Nombor kad pengenalan yang dia beri dekat saya untuk pendaftaran online pun palsu. Banyak sudah dia tipu saya,” tambahnya, tanpa mendedahkan jumlah wang yang telah diserahkan.
Pertemuan Singkat, Akibat Tragis
Difahamkan, lelaki itu hanya pernah berjumpa wanita tersebut dua kali sepanjang tempoh perkenalan mereka sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Kini, dia sedang mempertimbangkan untuk membuat semakan status perkahwinan wanita itu di pejabat agama dan mungkin mengambil tindakan undang-undang.
Reaksi Netizen
Luahan hatinya menarik perhatian ramai, dengan rata-rata netizen bersimpati atas nasib malangnya.
“Orang lain susah nak cari jodoh, dah dapat pula kena scam,” komen seorang pengguna media sosial.
Netizen turut memberi cadangan agar lelaki itu segera membuat laporan polis untuk menuntut keadilan dan mengambil tindakan tegas terhadap penipuan tersebut.
“Status kahwin boleh semak di pejabat agama. Kalau ada bukti resit pemindahan wang, buat laporan polis segera,” tulis seorang lagi.
Kes ini menjadi pengajaran penting untuk lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan, terutamanya sebelum mengambil keputusan besar seperti perkahwinan.
BACA: Ramai tak tahu rupanya jual senjata tiruan salah disisi undang-undang, ‘kalau kena makan tak habis’