Penyampai radio terkenal di ERA, Haniff Hamzah, baru-baru ini berkongsi dengan pengikutnya di TikTok
Tentang cara stesen radio memilih lagu untuk dimainkan kepada pendengar.
Penerangan ini diberikan bagi menjawab Persoalan yang sering bermain di minda pendengar radio di Malaysia.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa pemilihan lagu yang berulang-ulang di radio adalah sepenuhnya keputusan penyampai radio
Ada juga yang berpendapat bahawa lagu-lagu tersebut dipilih berdasarkan citarasa penyampai radio itu sendiri.
Namun, Haniff telah menafikan tanggapan tersebut dan menegaskan bahawa kuasa untuk memilih lagu bukan terletak di tangan penyampai radio semata-mata.
Sebaliknya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan untuk memainkan sesuatu lagu di corong radio.
Kualiti Rakaman
Haniff menjelaskan bahawa setiap stesen radio mempunyai cara tersendiri dalam memilih lagu untuk diputarkan. Di tempat kerjanya, setiap lagu yang dihantar perlu memiliki kualiti rakaman yang baik terlebih dahulu. Lagu-lagu tersebut akan diperiksa oleh pihak tertentu sebelum dipertimbangkan untuk dimainkan.
Antara elemen yang diperiksa adalah penulisan lirik, sama ada lirik tersebut sesuai atau tidak. Perkataan yang tidak sesuai akan ditapis dan digantikan dengan bunyi beep. Lagu-lagu yang mempunyai unsur kekerasan juga akan disaring. Jika terlalu banyak perkataan yang tidak sesuai, lagu itu mungkin akan ditolak kerana terlalu banyak beep yang membuatkan lagu itu tidak dapat didengar seperti sebuah lagu lagi.
Keserasian Dengan Pendengar Radio
Selepas pemeriksaan kualiti dan lirik, lagu tersebut akan diletakkan dalam satu sistem undian. Haniff menerangkan bahawa di tempat kerjanya, terdapat sistem undian yang melibatkan ribuan pengundi berdaftar dikenali sebagai Juri Hit ERA. Setiap minggu, mereka akan menerima lima lagu baru untuk diundi. Kadang-kadang, walaupun penyanyi tersebut sudah lama dikenali, lagu baru mereka tetap akan diuji.
“Dalam lima lagu tersebut, hanya sebahagian kecil yang dimainkan selama seminit. Nama lagu akan didedahkan, tetapi nama penyanyi tidak akan diberikan untuk mengelakkan bias dalam undian,” kata Haniff. Melalui undian ini, stesen radio dapat mengenal pasti lagu-lagu yang paling sesuai dengan citarasa pendengar.
Lagu Popular Di Platform Lain
Selain itu, Haniff turut berkongsi bahawa ada cara baru dalam pemilihan lagu. Kini, banyak lagu menjadi viral terlebih dahulu di platform media sosial seperti TikTok.
Setelah lagu tersebut popular, radio akan mengenal pasti dan menghubungi pihak yang terlibat dengan lagu viral tersebut.
Namun, meskipun lagu tersebut viral, ia tetap perlu melalui sistem undian Juri Hit ERA sebelum dipertimbangkan untuk diputarkan.
Di akhir video, Haniff memberikan semangat kepada para penggiat muzik supaya tidak berputus asa walaupun lagu mereka tidak diputarkan di radio.
Katanya, jangan berhenti menghasilkan lagu dan teruskan menghantar karya mereka ke stesen radio.
BACA: Kalau dah jodoh tak kemana, pasangan warga emas berkahwin lepas 2 tahun kenal hati budi