Gurun bertukar tanah hijau di Arab Saudi. Landskap beberapa kawasan tanah tinggi di Arab Saudi ‘bertukar’ hijau susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di negara ini, bulan lalu.
Portal Middle East Monitor (Memo) yang memetik laporan Saudi Press Agency (SPA) turut menyertakan foto dan klip video yang menunjukkan kesan daripada cuaca berkenaan.
Menurut Memo, pemandangan di beberapa kawasan di Arab Saudi bertukar hijau, terutamanya di barat negara itu.
Beberapa gambar juga menunjukkan tumbuhan hijau disebabkan oleh cuaca panas dan hujan, juga dapat dilihat menerusi imej satelit diperoleh daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) Amerika Syarikat.
Portal New Arab pula melaporkan pemandangan di beberapa kawasan tanah tinggi di sekitar Makkah, turut bertukar kepada hijau.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, ada tanah tinggi berhampiran Tanah Suci itu dilihat diliputi tumbuhan hijau, jauh dari pemandangan biasa iaitu tanah tandus.
Landskap yang jarang dilihat itu menarik perhatian akaun Twitter rasmi untuk wilayah Makkah, @makkahregion yang turut memuat naik video kawasan tanah tinggi yang dilitupi tumbuhan hijau.
Video itu mendapat ribuan tontonan di media sosial.
Susulan hantaran video dan foto menunjukkan landskap itu, pengguna media sosial di Arab Saudi turut mendakwa pemandangan sama boleh dilihat di Laith, Taif dan Jeddah.
Keadaan itu juga menarik penduduk untuk meluangkan masa berkhemah di taman dan kem-kem di wilayah berkenaan, lapor SPA.
Bagaimanapun, ada juga berpendapat bahawa ia bukan perkara baharu kerana situasi sama pernah berlaku sebelum ini.
Menurut mereka, keadaan tanah tinggi yang hijau ini adalah bersifat sementara.
Bulan lalu, beberapa kawasan di barat dan tengah Arab Saudi dilanda hujan lebat, sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.
BACA JUGA :
Butik terkenal kantoi letak kamera dalam fitting room
Kena sindir tak pandai ‘speaking’, sekali Safawi buka mulut semua terkejut
Syamsul mula buka mulut, dedah sebab sebenar block whatsapp Puteri Sarah