Guru, orang ramai luah kekecewaan terhadap PdPR 2.0 di media sosial

Guru, orang ramai luah kekecewaan terhadap PdPR 2.0 di media sosial

Kesatuan guru terbesar di negara ini mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perubahan manual panduan pembelajaran dalam talian terbaharu (PdPR 2.0) kementerian pendidikan (KPM) sekali gus mengundang keluhan ramai guru.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan berkata, mereka kini sedang dalam proses mengumpulkan aduan daripada guru dan ibu bapa.

“NUTP tidak pernah terlibat dalam PdPR 2.0 ini”, katanya kepada FMT.

Katanya di bawah PdPR 2.0, proses pembelajaran adalah mengikut jadual penuh, sama seperti jadual di sekolah tetapi dengan ciri baru yang melibatkan tutorial.

“Sekiranya seorang guru mempunyai dua sesi dengan masa selama 60 minit, 30 minit adalah untuk pelajar membuat kerja rumah mereka, dengan guru boleh dihubungi (on call).”

Kekecewaan guru itu terbukti apabila ramai yang turut menyuarakan keluhan mereka terhadap PdPR 2.0 di media sosial.

Seorang guru, MK Izzuddin, bertanya kepada kementerian sama ada mereka berpendapat bahawa pembelajaran dalam talian sama dengan pembelajaran di dalam kelas.

“Apakah kementerian menyedari berapa lama guru perlu menyiapkan persediaan pembelajaran untuk setiap topik?”

Izzuddin turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan jadual pembelajaran dalam talian yang begitu padat terhadap anak-anak, terutamanya buat keluarga yang mungkin mempunyai beberapa orang anak yang bersekolah.

“Apakah kementerian mempertimbangkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa yang harus memantau pembelajaran dalam talian anak-anak mereka? Bagaimana dengan pekerjaan mereka jika mereka harus mengawasi anak-anak dari jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari? ”

Guru-guru lain turut mengeluh mengenai jadual yang padat, mengatakan mereka sudah bekerja berjam-jam untuk menyiapkan sukatan pelajaran. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat menolong anak mereka sendiri kerana perlu mengutamakan tanggungjawab kerja mereka.

Sementara itu, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata jadual pembelajaran dalam talian yang seakan jadual sekolah adalah tidak masuk akal dan akan menjejaskan guru.

Beliau mendakwa mendapat maklumat bahawa beberapa jabatan pendidikan negeri telah mengeluarkan surat yang memaksa guru mengajar lima mata pelajaran sehari.

Maszlee berkata, manual baharu itu harus diketepikan dan guru diberi autonomi untuk mengendalikan kelas dalam talian mengikut kemampuan mereka dan akses pelajar terhadap pembelajaran dalam talian.

FMT sudah menghubungi kementerian pendidikan untuk mendapatkan maklum balas berhubung manual tersebut, yang difahamkan telah dikeluarkan pada Selasa lalu. –FMT