Guru besar didakwa peluk dan cium guru intern dalam tandas pra sekolah

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Seorang bekas guru besar sebuah sekolah di daerah Alor Gajah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini, atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita pada tahun lalu.

Mohammed Mohd Som, 58, yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru besar, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 21 tahun yang merupakan guru pelatih, dengan cara memeluk dan mencium pipinya.

Kejadian itu didakwa berlaku pada sekitar pukul 10.40 pagi, 16 Ogos 2024, di tandas kelas pra-sekolah di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang, Lubok China, Alor Gajah.

Selain itu, tertuduh juga menghadapi dua lagi pertuduhan memeluk dan mencium dahi wanita yang sama, kejadian pertama berlaku pada 30 Julai 2024, kira-kira pukul 11 malam,

Guru besar didakwa peluk dan cium guru intern dalam tandas pra sekolah

di sebuah kereta di hadapan premis di Taman Ilir Jaya. Manakala kejadian kedua didakwa berlaku pada 18 Januari 2024, di kawasan Taman Wira Indah, Alor Gajah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berisiko dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau dikenakan denda, sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri, mencadangkan agar jaminan ditetapkan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan. Walau bagaimanapun, peguam tertuduh,

Datuk Hanif Hassan, memohon agar jumlah jaminan yang lebih rendah ditetapkan iaitu RM8,000 untuk kesemua pertuduhan. Peguam itu juga menegaskan bahawa anak guamnya kini telah ditukarkan ke Jabatan Pendidikan negeri dan tidak lagi berkhidmat di sekolah yang terlibat, sementara pengadu juga telah selesai menjalani latihan.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 bagi kesemua pertuduhan, dengan kes akan disebut semula pada 6 Mac depan.

BACA: Skandal rasuah Sabah RM300,000, ini respon Menteri Kewangan Sabah

Leave a Comment