Guru Besar ambil inisiatif jual beg recycle, kumpul RM24,000 beli laptop pelajar

Guru Besar ambil inisiatif jual beg recycle, kumpul RM24,000 beli laptop pelajar

Dua tahun lalu, guru besar sekolah Tamil, Sangga Sinnayah menjadi perhatian ramai apabila sekolahnya, SJK (T) Sg Ara, berjaya dinobat sebagai sekolah “eco-warrior”.

Kini, beliau kembali mendapat perhatian dengan usahanya memastikan semua murid di sekolah baharunya, SJK (T) Bayan Lepas, mempunyai komputer riba dan sambungan internet yang mencukupi untuk belajar dalam talian.

Pada 2019, usahanya melatih murid menanam dan menjual hasilnya untuk membayar kos mengurus sekolah dan mengharamkan penggunaan plastik sekali guna, mendapat pujian kementerian pendidikan.

Sekolah itu disebut-sebut sebagai sekolah model “eko”, terutama selepas ia memenuhi kriteria yang ditetapkan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Kini, setahun selepas menerajui SJK (T) Bayan Lepas, Sangga terus menerapkan konsep yang sama di sekolah baharunya.

Namun, masalahnya kali ini lebih mendesak apabila 130 muridnya perlu dibantu untuk mengikuti kelas pembelajaran dalam talian berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Untuk mencapai hasrat itu, beliau mengumpul wang dengan menjual 1,500 beg kapas yang boleh digunakan semula. Dalam masa seminggu bermula 30 Jan lalu, sekolah itu berjaya mengumpulkan RM24,000 daripada penjualan 1,000 beg berharga RM10 setiap satu selain sumbangan orang ramai.

Dengan wang itu, beliau dapat memesan 40 tablet dari Samsung berharga RM529 setiap satu, dengan potongan harga 15%.

“Sebelum ini, kami menggunakan 40 netbook, yang terpaksa dikongsi oleh pelajar. Bagaimanapun, komputer riba kecil ini terlalu perlahan dan separuh daripadanya tidak berfungsi dengan baik.

“Kebanyakan pelajar berdepan masalah kerana terpaksa menggunakan telefon bimbit ibu bapa mereka. Kerana itu, kami perlu mencari jalan penyelesaiannya.

“Kami berterima kasih kepada para penderma yang bermurah hati tampil untuk membantu kami dalam suasana sukar ini,” katanya kepada FMT.

Sangga berkata sekolah itu, melalui persatuan ibu bapa-guru (PIBG), kemudian memesan lebih banyak beg kapas yang dapat digunakan semula untuk dijual. Ia bertujuan mengumpulkan dana untuk membeli lebih banyak tablet dan membayar data internet bagi pelajar yang memerlukan.

Mereka yang berminat boleh membantu dengan menyumbang ke akaun CIMB Bank PIBG – 80-0387729-3 – atau menghubungi Sangga di 019-449-4914.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/12/guru-besar-kumpul-rm24000-hasil-jualan-beg-guna-semula-beli-komputer-riba-bantu-pelajar/