Dalam kalangan kita, ada yang menganggap sepupu seperti adik-beradik kerana hubungan rapat sejak kecil.
Namun, seorang lelaki menjadi tular di platform X selepas ditegur oleh teman wanitanya kerana tidak menjaga batas pergaulan dengan sepupu perempuannya.
Dalam luahan yang dimuat naik pada Ahad, lelaki tersebut meluahkan dilema yang dihadapinya selepas teman wanitanya menyuarakan ketidakpuasan hati.
“Apa patut aku buat? Teman wanita aku tegur pasal hubungan aku dengan sepupu perempuan.
Aku memang dibesarkan bersama sepupu aku. Jadi, aku dah anggap dia macam adik perempuan sendiri.
“Masa kecil, kami biasa peluk dan pegang tangan, tapi tak selalu. Cuma sekarang, setiap kali sepupu aku luahkan perasaan, aku peluk dan pegang tangan dia untuk menenangkannya,” katanya.
Menurut lelaki itu, dia menganggap perbuatan tersebut biasa kerana membesar bersama, tetapi teman wanitanya menentang keakraban itu.
“Sekarang teman wanita aku suruh aku jaga batas. Kalau dengan kawan perempuan aku boleh terima, tapi ini keluarga sendiri. Aku dah anggap dia macam adik. Kenapa tak boleh peluk dia bila dia ada masalah?” tambahnya.
Dia turut memberitahu bahawa ibu bapanya tidak pernah menegur hubungan tersebut, menjadikan dia keliru dengan teguran teman wanitanya. Malah, dia kini mempertimbangkan untuk membatalkan pertunangan mereka yang dijadualkan minggu depan walaupun deposit dewan perkahwinan telah dibayar.
Di ruangan komen, netizen menyifatkan lelaki itu kurang pengetahuan tentang batasan dalam agama.
“Putus saja. Lelaki ini jahil bab agama, tak sesuai jadi ketua keluarga,” tulis seorang pengguna.
“Tak kiralah rapat macam mana pun, sepupu masih bukan mahram. Kalau betul rapat, kahwin saja dengan sepupu,” sindir netizen lain.
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkahwinan antara sepupu adalah harus kerana sepupu tidak termasuk dalam kategori mahram.
Namun, syarak menggalakkan perkahwinan dengan individu luar daripada keluarga untuk memastikan zuriat yang sihat dan kuat.