Gerakan masuk PN waktu darurat bukti kuatnya permainan politik

Gerakan masuk PN waktu darurat bukti kuatnya permainan politik

Tanpa mengambil kira PKP atau darurat dan di sebalik omongan dirinya tidak berpolitik dan hanya ingin menumpukan kepada usaha melawan Covid19, Muhyiddin Yassin sekali lagi membuktikan bermain politik dan keinginan mengekalkan kuasa memang menjadi keutamaannya.

Jika dalam tempoh PKP sebelum ini, beliau mengambil kesempatan mengukuhkan penguasaannya dalam Bersatu dengan memecat semua penentangnya, termasuk Tun Mahathir Mohamad, kini beliau membawa masuk Gerakan pula menyertai PN.

Kemasukan Gerakan ini dilakukan ketika dalam tempoh PKP 2.0 dan darurat dilaksanakan yang konon ia terpaksa dilakukan bertujuan memastikan keberkesanan usaha kerajaan menangani Covid19.

Sementara tiada sebarang usaha yang nampak berkesan dilakukan dalam tempoh darurat ini untuk memerangi Covid19, yang terbukti dilakukan Muhyiddin akhirnya ialah membawa masuk Gerakan menyertai PN di ketika semua pihak lain diserunya memberi tumpuan memerangi wabak penyakit tersebut.

Dengan kemasukan Gerakan ini, PN sekarang dianggotai lima parti – Bersatu, Pas, Star, Sapp dan Gerakan.

Maka, sahih dan terbuktilah sekarang darurat yang dicadangkan Muhyiddin untuk mendapat perkenaan Agong, selain ketika itu keabsahan dan majoritinya kian menghilang, ia hanya untuk menangani darurat politik dalam dirinya.

Berbeza dengan UMNO, bukan anggota PN tetapi bersama menubuhkan kerajaan PN, di sebalik gembar-gembur meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu serta ingin keluar daripadankerajaan, tetapi bertindak macam siput dengan menangguh-nangguhkan keputusan yang mahu dibuat.

Disebabkan memberi tempoh untuk memuktamadkan usul putus hubungan tersebut dalam Perhimpunan Agung UMNO yang sepatutnya 31 Januari lalu, semuanya jadi tersekat kerana dipintas dengan Muhyiddin lebih dulu mendapat perkenan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Untuk itu, tiada ketahuan bila tarikh sebenar Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan selepas ini.

Lebih daripada itu, tindakan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan juga dibuat secara berdikit-dikit seolah-olah selain Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz, semua yang lain adalah mereka yang lebih sayangkan jawatan berbanding perjuangan.

Kalau benar sayangkan perjuangan UMNO dan sedar Bersatu ingin membunuh UMNO, mengapa mesti bertangguh-tangguh lagi?

Masuknya Gerakan ke dalam PN ini memperlihatkan Muhyiddin sentiasa memperkemas dan menguatkan kedudukannya untuk menghadapi PRU15 akan datang dan dengan perlahan-lahan cuba mengenepikan UMNO serta BN.

Malah, berbanding BN yang ada empat parti – UMNO, MCA, MIC dan PBRS – PN kini sudah jadi lebih besar lagi kerana memiliki lima parti di dalamnya.

Jika sebelum ini, Muhyiddin mencuri Pas yang sudah bertunang dengan UMNO melalui Muafakat Nasional untuk menjadi anggota sah PN, kini janda BN pula dijadikan milik terbaru PN.

Tidakkah semua ini sebenarnya suatu penghinaan kepada UMNO dan BN?

Terbaru, berdasarkan keterangan di mahkamah semalam yang membuktikan UMNO ada memiliki akaun bank rahsia yang tidak diaudit untuk menerima sumbangan politik, ia mungkin bakal menjadi alasan terbaik untuk pihak kerajaan mengisytiharkan parti itu sebagai tidak sah serta haram.

Selepas ini, kita tidak tahu lagi apa gerakan Muhyiddin seterusnya, tetapi yang pasti beliau tidak akan berdiam diri bersama Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin untuk terus merancang sesuatu demi masa depan mereka.

Jika UMNO, khususnya Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti itu kekal leka dan terkemut-kemut dalam bertindak, impian UMNO untuk kembali berkuasa, berdasarkan gerakan politik yang dilakukan Muhyiddin sekarang ini, semua itu bolehlah dianggap hanya tinggal angan-angan saja.

Terlihat semua yang dilakukan Muhyiddin secara perlahan-lahan dan satu demi satu ini seperti sudah ada skrip yang memang disiapkan lebih awal lagi.

Masihkah UMNO mahu terhegeh-hegeh lagi bertindak meninggalkan kerajaan PN atau memang sudah takdirnya UMNO akan kena telan dengan Bersatu? (Shahbudindotcom 11/02/2012)

Sumber : https://shahbudindotcom.net/2021/02/11/umno-nak-tunggu-apa-lagi-muhyiddin-sudah-buktikan-darurat-bertujuan-politik.html