Gempar !!! Muhyiddin umum akan bubarkan parlimen

Gempar !!! Muhyiddin umum akan bubarkan parlimen

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Kerajaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Seperti yang saya jelaskan secara panjang lebar sebentar tadi, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh Kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa. Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

Sebagai Ketua Kerajaan, saya juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara kita yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan.

Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak Kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik. – Teks Penuh