Gempar !!! Hadi dedah RUU355 tangguh kerana ditolak ahli parlimen Umno

Gempar !!! Hadi dedah RUU355 tangguh kerana ditolak ahli parlimen Umno

Pas membuat keputusan menangguhkan dahulu ‘perjuangan’ untuk melaksanakan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355 bagi menyelesaikan hal lebih penting ketika ini iaitu darurat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu merupakan kerjasama awal antara parti yang dipimpin beliau dan UMNO ketika parti itu masih menjadi kerajaan.

Katanya, keputusan itu terpaksa diambil selepas gagal mendapat majoriti mudah apabila RUU itu dikemuka untuk bacaan kali kedua di Parlimen sebelum ini.

“Majoriti mudah (untuk luluskan RUU 355) ini memerlukan undi sekurang-kurangnya lebih daripada satu.

“Malangnya dalam UMNO tidak semua sokong. Tapi (pada awalnya) kita telah berjaya bincang dengan UMNO dan UMNO bersetuju menyokong usul ini tapi bila sampai ke peringkat hendak undi, tidak cukup.

“Maka kita sekadar dapat kemuka bacaan kali yang kedua sahaja. Tidak diundi lagi. Jadi terpaksa kita tangguh,” katanya pada program bual bicara Minda Profesor Negara ‘Bicara Negarawan’ Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita? yang disiar secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan moderator, Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali mengenai pendirian parti itu mengenai pelaksanaan RUU 355 selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Program itu turut menampilkan Presiden MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, perjuangan Pas untuk melaksanakan undang-undang itu tidak pernah terhenti.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini terdapat perkara lebih penting perlu diberi keutamaan iaitu menyelesaikan tempoh darurat akibat pandemik Covid-19.

“Sekarang ini kita perlu tangguhkan (gesaan untuk laksana RUU 355) (dan) selesaikan darurat dahulu. Ini sangat penting bagi kita,” katanya. –SH