Gelanggang bola keranjang pakai tikar getah je? Ini 5 kontroversi Sukan Sea di Kemboja

Oleh MHDAILY

Gelanggang bola keranjang pakai tikar getah je? Ini 5 kontroversi Sukan Sea di Kemboja.

Setiap kali berlangsung temasya sukan khususnya melibatkan pertandingan antara negara, tuan rumah biasanya mempunyai kelebihan istimewa sebagai penganjur.

Hak penganjuran yang dimiliki akan dimanfaatkan sepenuhnya tuan rumah dalam memastikan manfaat serta kelebihan.

ia juga dapat membantu prestasi atlet mereka serta memperbaiki kutipan pingat yang mungkin sebelum itu suam-suam kuku.

Kemboja sebagai tuan rumah Sukan SEA ke 32 memang mengambil peluang betul. Perasan kan, buat kali pertama bergelar tuan rumah sehinggakan kutipan pingat mereka berkali-kali ganda pertambahannya. Dalam masa sama, keputusan Kemboja juga memulakan beberapa kontroversi hangat.

Berikut adalah lima keputusan aneh dibuat Kemboja yang memanaskan persaingan jagoan sukan di rantau Asia Tenggara.

1. Menukarkan nama sukan Muay Thai ke nama ‘asal’
khun khmer lawan muay thai

Walaupun di kalangan masyarakat kita, sukan gusti ini lebih dikenali dengan nama ‘tomoi’, di kalangan masyarakat luar nama Muay Thai sudah sinonim dengan sukan tempur keras ini.

Itulah nama yang diguna bagi mewakili kategori penganjuran sukan ini dalam temasya Sukan SEA sebelum ini, dekat dengan identiti sukan itu sebagai sukan kebangsaan orang Thai sendiri.

Walau bagaimanapun, Kemboja menggunakan fakta sejarah – menyifatkan mereka sebenarnya adalah pencipta sukan tempur ini yang lebih dikenali dengan nama Kun Khmer. Nama ini dipilih sebagai nama rasmi penganjuran, menyebabkan Thailand menarik diri daripada menyertai sukan ini.

Tindakan itu membolehkan Kemboja setakat artikel ini ditulis, menguasai keputusan acara ini.

2. Menjimatkan kos untuk gelanggang
keadaan gelanggang bola keranjang sukan sea

Salah satu kontroversi yang sedang memuncak adalah berkait dengan permukaan gelanggang bola keranjang, yang disediakan oleh tuan rumah.

Permukaan Kompleks Sukan Morodok Techo yang terletak di Phnom Penh disuarakan oleh pemain dan petugas pasukan sebagai terlalu licin serta mengakibatkan kadar kecederaan yang tinggi.

Bahan linoleum yang digunakan untuk gelanggang itu langsung tidak sesuai untuk permukaan sukan, lebih layak diguna untuk kegunaan dalam kediaman. Mangsanya adalah golongan pemain.

Ramai pemain mengalami kecederaan selepas tergelincir, termasuklah pemain pasukan Kemboja sendiri. Apa yang lucu, akibat daripada pemasangan yang tidak kemas serta kurang sesuai, ada bahagian gelanggang yang sudah tidak sekata permukaannya.

Dah rupa macam tikar getah rumah kampung zaman dulu, pemasangannya.

3. Tamak dalam melesenkan hak penyiaran
jualan hak pelesenan sukan sea kemboja

Tradisi penganjuran Sukan SEA biasanya menetapkan tuan rumah akan menjual lesen penyiaran kepada negara-negara peserta pada harga ‘kawan-kawan’.

Tujuannya jelas, untuk membolehkan setiap negara peserta menyiarkan rakaman dan liputan perlawanan secara tempatan dengan mudah dan negara tuan rumah dapat menampung kos yang ada.

Bermula tahun 2009, lesen penyiaran mula dijual pada kos rendah. Sebagai contoh, Vietnam dalam penganjuran Sukan SEA ke 31 meminta RM45 ribu ($10,000) dan angka ini dilihat munasabah. Belum pernah ada negara tuan rumah meminta lebih dari angka tersebut dalam penganjuran sebelumnya.

Tidak bagi Kemboja! Thailand melaporkan kerajaan Kemboja meminta agar Thailand membayar RM3.56 juta untuk mendapatkan lesen penyiaran rasmi – satu amaun yang enggan dibayar majoriti negara peserta. Bukan semua negara membelinya.

Ini bermakna ada negara yang menyertai Sukan SEA kali ini, rakyatnya tidak dapat menyaksikan temasya yang sedang berlangsung.

4. Bendera terbalik semasa majlis pembukaan
kontroversi sukan sea kemboja

Malaysia pernah melakukan kesilapan sebagai tuan rumah semasa penganjuran Sukan SEA, mencetak bendera Indonesia terbalik dalam buku cenderamata sehingga menimbulkan kontroversi sehingga wakil negara kita perlu memohon maaf kepada Indonesia.

Kemboja nampaknya mahu memecahkan rekod – menterbalikkan pemasangan 3 bendera iaitu bendera negara Indonesia, Vietnam dan Myanmar semasa majlis pembukaan temasya yang dibawa berarak ke dalam stadium.

Sesuatu yang melucukan – bendera Indonesia jika diterbalikkan akan bertukar menjadi bendera negara Poland. Pasti orang Poland sendiri terkejut sekiranya mereka mendapati negara mereka tak pasal-pasal menyertai Sukan Asia Tenggara pula.

5. Mengehadkan penyertaan sesuka hati
pemenang pingat emas sukan sea kemboja

Salah satu perkara yang jelas digunakan sepenuhnya Kemboja dalam memaksimakan peluang untuk mengutip pingat adalah dengan pengenalan syarat-syarat baru kepada sukan yang dianggap kurang kuat, untuk mereka.

Negara kita, Indonesia dan Thailand tidak dibenarkan menyertai kejohanan badminton beregu campuran berkumpulan – bagi membolehkan negara bukan kuasa badminton dunia seperti Myanmar, Laos dan sudah tentulah Kemboja berpeluang bertanding dan menang pingat.

Situasi sama turut menimpa beberapa sukan berbeza seperti perlumbaan bot panjang dan gusti. Gusti khususnya hanya membenarkan sesebuah negara menyertai 60 peratus daripada kategori dipertandingkan.

Dalam memastikan seorang atlet wakil negara mampu membolot pingat sendirian, sukan ping-pong dan gimnastik hanya membenarkan seorang pemain menyertai dua sahaja kategori acara dipertandingkan – menyebabkan ramai atlet bertaraf dunia hanya mampu meraih maksima dua pingat saja dalam penyertaan mereka.

6. Mempopularkan budaya naturalisasi segera
pemenang pingat emas sukan sea kemboja

Dalam beberapa sukan seperti bola keranjang, Kemboja menggunakan kuasa politik yang ada untuk mempercepatkan dan mempermudahkan urusan kewarganegaraan atlet yang mereka lantik untuk mewakili Kemboja.

Ini membolehkan Kemboja memenangi emas menerusi acara 3 lawan 3, membariskan 3 pemain kelahiran Amerika Syarikat yang sama sekali belum pernah hadir ke Kemboja sebelum ini.

Tindakan Kemboja membariskan apa yang sesetengah media labelkan sebagai ‘pelancong sukan’ ini mendapat kritikan banyak pihak, termasuklah atlet dari Kemboja sendiri yang tiba-tiba kehilangan tempat mereka sebagai pemain kebangsaan.

Walaupun begitu, punca kepada masalah ini sebenarnya adalah disebabkan oleh syarat penganjuran Sukan SEA itu sendiri yang membenarkan mana-mana pemegang kewarganegaraan untuk hadir sebagai wakil tanpa perlu memenuhi syarat ketat.

Kemboja menjadi negara pertama berani mengambil peluang sepenuhnya kelonggaran ini, yang setakat ini tampak berjaya membawa kilauan emas bergemerlapan kepada kontinjen mereka.

BACA:

Gara-gara nafsu, remaja tak peduli orang awam, lepas nafsu atas motor tepi kubur

Risau anak tak cukup makan, gadis ini kecewa mak tak restu anak kahwin dengan tabligh