Feri Pulau Pinang mungkin kembali jika kerajaan bertukar

Feri Pulau Pinang mungkin kembali jika kerajaan bertukar

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata kapal dua hujung lama mungkin kembali ke Pulau Pinang jika berlaku pertukaran kerajaan di Putrajaya.

Katanya, tindakan menghentikan perkhidmatan kapal feri lama berkenaan disebabkan unsur politik, dan mengkritik Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong serta partinya, MCA, kerana “tekad” mahukan keputusan itu walaupun kapal feri terbabit sebahagian daripada warisan dan kebudayaan Pulau Pinang.

“Ini hari yang menyedihkan. Saya rasa kita tidak patut pasrah kerana mereka yang tidak berhati perut. Apa diperlukan adalah pertukaran kerajaan di Putrajaya.

“Kita perlu menggantikan Wee sebagai menteri pengangkutan dengan Loke Siew Fook,” katanya, merujuk kepada Ahli Parlimen Seremban yang pernah memegang jawatan berkenaan.

Lim berkata, ketika menjadi menteri kewangan, beliau menguntukkan geran tunai RM30 juta untuk satu syarikat yang mengambil alih perkhidmatan feri, yang katanya disahkan penggantinya Tengku Zafrul Aziz di Parlimen baru-baru ini.

Beliau menyifatkan dakwaan kapal dua hujung tidak selamat dan menelan kos tinggi sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, katanya, peruntukan RM30 juta itu cukup untuk kos pembaikan dan penyelenggaraannya.

“Kami bukannya mahukan semua 10 feri lama itu, tapi sekurang-kurangnya biarlah dua masih digunakan, sekalipun dengan kekerapan lebih rendah. Kami tidak membantah penggunaan katamaran, namun menganggap feri lama dan baru patut sama-sama digunakan.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan rasa kehilangan kami kerana ini bukan saja warisan budaya malah sebahagian daripada sejarah Pulau Pinang. Ini simbol Pulau Pinang, sebahagian jiwa kami dirobek,” katanya.

Terdahulu, Lim dan sekumpulan ahli DAP menaiki feri Pulau Angsa dan turut menggunakan pembesar suara mendesak feri lama dikekalkan.

Kapal dua hujung akan hanya digunakan kenderaan dua roda mulai esok. Kereta tidak lagi boleh menggunakannya, manakala pejalan kaki perlu menggunakan feri laju dari Swettenham Pier.

Pada Julai 2022, tiga bas air baru akan berlepas dari terminal feri asal di pulau berkenaan, manakala dua kapal untuk motosikal dijangka tiba lebih awal.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/31/feri-lama-mungkin-kembali-jika-kerajaan-bertukar-kata-guan-eng/

COMMENTS