Fenomena awan berbentuk bulat buat ramai tertanya-tanya apakah puncanya

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Bercakap tentang fenomena di langit, biasanya kita akan memperkatakan tentang gerhana, pelangi dan sebagainya kerana itulah yang kerap kita nampak.

Bagaimana pula dengan fenomena yang melibatkan awan? Ada beberapa fenomena melibatkan awan yang jarang berlaku,

Tetapi sungguh menarik untuk ditatap sekiranya ia terjadi. Sayang setakat ni, penulis belum pernah nampak depan mata lagi.

Fenomena awan berbentuk bulat buat ramai tertanya-tanya apakah puncanya

Berikut adalah lima fenomena awan aneh yang berkemungkinan boleh terjadi, yang mungkin membuatkan anda rasa gerun melihat keunikan alam semulajadi.

1. Awan mammatus
mammatus awan fenomena aneh sains

Kita mulakan dengan fenomena awan mammatus; fenomena awan yang sangat ganjil bila mana berlakunya lapisan lain di bahagian bawah awan berbentuk seperti bebola atau kantung.

Awan mammatus biasanya berlaku kepada awan jenis kumulonimbus, mempunyai berpuluh atau beratus kantung yang terbentuk akibat tindakbalas di antara udara sejuk dengan cas elektrik di udara yang menyejat, membentuk poket-poket udara dalam bentuk kantung.

Fenomena ini dirujuk sebagai mammatus diambil daripada istilah Latin ‘mamma’, yang merujuk kepada buah dada atau payu dara wanita mengikut bentuk kantung yang terhasil.

2. Awan noctilucent
noctilucent awan jarang berlaku

Awan noctilucent dirujuk sebagai “awan malam”, adalah awan yang terbentuk pada kedudukan tertinggi dalam atmosfera Bumi.

Fenomena awan noctilucent hanya akan berlaku pada ketinggian kira-kira 80 kilometer dalam lapisan mesosfera bumi, membentuk kristal-kristal ais dalam awan akibat pergerakan udara.

Untuk melihat awan noctilucent, kita perlu sangat peka. Ini kerana fenomena ini hanya berlaku dalam tempoh singkat selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit apabila awan mula memerangkap cahaya matahari.

Mempunyai rupa seakan-akan berwarna perak dan biru, awan noctilucent juga dikenali dengan nama polar mesospheric cloud atau awan polar mesospheric.

3. Awan morning glory
awan berbentuk silinder di australia

Awan morning glory adalah fenomena meteorologi yang jarang berlaku dan hanya boleh ditemui berlaku di beberapa kawasan, paling kerap di Teluk Carpentaria, Australia.

Awan yang ada membentuk silinder panjang merentasi jarak beratus-ratus kilometer, biasa berlaku pada musim bunga dan musim luruh.

Jaraknya setakat ini direkodkan pernah mencapai panjang hampir 1,000 kilometer dari hujung ke hujung, terapung dalam ketinggian tidak jauh daripada permukaan bumi. Oleh kerana rendah, awan ini seakan-akan boleh dicapai dengan tangan.

Uniknya silinder-silinder awan boleh terbentuk dalam kuantiti berbeza. Ada masanya hanya ada satu awan morning glory terbentuk, ada masanya sehingga 10 silinder kelihatan serentak dalam satu-satu masa.

4. Awan berlubang
fallstreak hole fenomena aneh awan

Apabila suhu air yang membentuk awan jatuh ke tahap bawah paras beku tetapi air yang ada tidak sempat untuk membeku, kristal-kristal ais akan mula terbentuk mengakibatkan ‘ketidak stabilan’ pada bentuk awan.

Proses penyejatan ini berpotensi meninggalkan ruang kosong pada permukaan awan, yang menyebabkan wujud lompong kosong tidak diliputi awan – membentuk fenomena unik yang dilabelkan sebagai awan berlubang atau fallstreak hole cloud.

Kelompongan ini pula boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada bentuk bulat, panjang atau secara rawak.

5. Awan nacreous
awan nacreous fenomena unik awan

Berbeza dengan fenomena awan lain yang kami senaraikan, fenomena awan nacreous unik kerana bentuk awan yang terhasil tidak sama seperti awan yang biasa kita lihat. Rupanya lebih mirip lakaran berus berwarna-warni di langit.

Kerap berlaku di Antartika serta beberapa kawasan seperti Scotland, Kanada, Russia, Artik, Alaska serta beberapa negara Scandinavia, awan nacreous berlaku akibat tekanan udara yang terbentuk di kawasan pergunungan tinggi bertindak balas dengan gelombang graviti.

nacreous awan fenomena unik

Warna ‘lukisan’ yang akan terhasil bergantung kepada kedudukan matahari ketika fenomena tersebut sedang berlangsung, di antara warna kemerah-merahan atau lebih mirip kepada gabungan kuning dan jingga.

BACA: Demi menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar, lelaki ini nekad rentas 6 negara buat netizen kagum