Adab ketika berkunjung ke rumah orang sangat penting untuk dijaga, walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri.
Jangan pula mengambil kesempatan terhadap kebaikan tuan rumah yang melayani tetamu dengan sabar tanpa rasa jemu.
Baru-baru ini, seorang wanita meluahkan rasa terkilan melalui hantaran di media sosial mengenai tetamu di rumahnya yang dikatakan telah bertindak melampaui batas.
Menurut wanita itu, tetamu yang dimaksudkan adalah kakak iparnya sendiri.
Walaupun dia mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap kakak iparnya, wanita tersebut tidak menyangka layanan baiknya memakan diri.
“Bermula dengan kisah saya yang baru pulang dari Cameron Highlands, saya membawa pulang sebekas besar strawberi untuk meraikan tetamu yang datang menumpang rumah. Pada masa yang sama, saya ada menyimpan satu bekas lagi di dalam peti sejuk untuk keluarga saya.
Namun, apabila saya periksa tadi, bekas strawberi itu sudah hilang! Ke mana perginya?” soal wanita tersebut penuh rasa pelik.
Menurutnya lagi, dia mengesyaki bahawa keluarga kakak iparnya telah memakan strawberi tersebut. “Anak saya masih kecil dan tidak tahu membuka peti sejuk sendiri, jadi saya yakin anak-anak kakak ipar saya yang melakukannya,” katanya.
Apabila wanita itu bertanya kepada kakak iparnya, dia hanya mendapat jawapan yang tidak memuaskan. “Jawapannya, ‘dah habis la kot.’ Saya sedih kerana kami tak sempat nak makan pun,” ujarnya.
Wanita itu menambah, “Saya sebenarnya tak kisah kalau mereka nak makan lebih, tapi sekurang-kurangnya tinggalkan sedikit untuk kami. Malangnya, saya tak tahu bagaimana hendak menegur mereka kerana takut salah cakap dan menyebabkan pergaduhan.”
Dalam ruangan komen, ramai pelayar memberi nasihat kepada ibu bapa supaya mendidik anak-anak menjaga tingkah laku, terutamanya apabila berada di rumah orang.
Ada juga yang berpendapat, “Tiada adab langsung jika kakak ipar awak biarkan anaknya selongkar peti sejuk di rumah orang. Kalau anak saya, saya akan suruh duduk diam-diam sahaja apabila melawat rumah sesiapa.”
Sementara itu, ada pelayar yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap kakak ipar yang sering menumpang rumah tanpa memberi sebarang penghargaan. “Kenapa kakak ipar awak suka sangat menumpang?
Adakah nak jimat duit atau memang tak mahu keluar belanja untuk hotel atau homestay?” tambah seorang lagi pelayar.
Adab dan rasa hormat adalah kunci untuk menjaga hubungan baik dalam keluarga. Jangan biarkan tindakan kecil seperti ini merosakkan keharmonian yang sepatutnya ada.
BACA: Polis dedah punca sebenar lori minyak sawit tiba-tiba terbabas ramai tak perasan