Faizal Tahir buka mulut, cerita perangai sebenar Yasin Sulaiman

Oleh MHDAILY

Faizal Tahir buka mulut, cerita perangai sebenar Yasin Sulaiman. Mengakui dirinya merupakan sahabat baik kepada Yasin Sulaiman yang berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir menyifatkan lelaki itu sebagai antara manusia terbaik pernah dikenalinya dalam hidup.

Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir mendedahkan, Yasin merupakan antara individu yang banyak mengubah dirinya ke arah kebaikan.

“Saya tidak berada dalam posisi untuk cerita apa yang betul, apa yang salah. Saya tak layak. Tapi, apa yang saya boleh katakan, Yasin adalah antara manusia yang paling banyak mengubah hidup saya sebenarnya.

“Dahulu, saya duduk satu blok dengan dia. Selalu pergi rumah dia main permainan video (game) sampailah saya berpindah ke rumah lain. Selepas itu, memang susah nak jumpa dia.

“Kalaulah saya boleh senaraikan antara orang yang banyak mengubah hidup saya menjadi lebih baik, insya-Allah, Yasin Sulaiman memang akan berada pada kedudukan teratas.

“Saya banyak belajar tentang al-Quran, tadabbur dan hal yang berkaitan dengan kehidupan. Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan antara manusia yang banyak mengubah saya ke arah kebaikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Faizal, 44, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Alah Bisa yang menampilkan rakan duet penyanyi Amira Othman di ibu kota semalam.

Faizal Tahir buka mulut, cerita perangai sebenar Yasin Sulaiman

Turut berduka dengan apa yang menimpa sahabat baiknya, Faizal berkata, beberapa hari sebelum Yasin ditangkap, dia bercadang untuk bertemu dengan pelantun lagu Mimpi Laila itu selepas lebih setahun tidak bertemu disebabkan banyak kekangan termasuk hal melibatkan keluarga.

“Beberapa hari sebelum dia ditahan, saya memang berniat nak jumpa dengan dia. Sebab sudah hampir setahun lebih tidak bersua muka. Malangnya, hasrat hati saya tidak kesampaian.

“Bila dah jadi begini, sebagai kawan mesti saya sedih sebab mungkin dia ambil benda terlarang, yang tak bagus tapi dia tak kacau orang pun.

“Dia tak pernah buat salah kepada orang. Yasin yang saya kenal, Lillahi Taala, antara manusia paling baik pernah saya jumpa dalam hidup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kata pelantun lagu Mahakarya Cinta itu, hukuman yang diberikan kepada Yasin dirasakan tidak masuk akal dan mengarut.

“Salah tak salah, itu memang terpulang kepada undang-undang. Tapi, kalau saya boleh kata, hukuman yang bakal diterimanya, bagi saya, tak masuk akal dan mengarut.

“Kalau kita nak buat apa-apa pun, biarlah kita tengok latar belakang seseorang itu, kenapa dia buat benda berkenaan dan apa impak dia buat kepada orang lain.

“Saya percaya, bukan saya seorang sahaja yang jadi baik sebab dia (Yasin), tapi ramai orang lain pun sama,” kata Faizal.

Terdahulu, pada 31 Mac lalu, Yasin, 47, mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

BACA:

Isteri Menteri disahkan meninggal dunia

Orang ramai kecam perkahwinan pasangan remaja sekolah menengah

Kerajaan Selangor umum bantuan kehidupan sejahtera RM300 seorang

Leave a Comment