Sebuah restoran makanan Korea di Singapura menggamit perhatian susulan iklan kekosongan jawatan
sebagai pekerja yang menawarkan gaji bulanan bermula dari SGD$2,750 (RM9,449) hingga SGD$3,300 (RM11,339), lapor laman berita NDTV semalam.
Selain gaji amat berpatutan, restoran dinamakan Ajumma itu turut menawarkan insentif lain.
Pekerja separuh masa ditawarkan gaji sebanyak SGD$10(RM34) hingga SGD$15(RM51) sejam, manakala pekerja tetap dibayar gaji SGD$2,750 hingga SGD$3,300 sebulan.
Pekerja juga akan menerima pelbagai manfaat lain termasuk elaun, kenaikan gaji tahunan, cuti, faedah perubatan dan kesihatan, bonus dua kali setahun, perlindungan insurans serta tajaan melanjutkan kursus pekerja.
Iklan kerja itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen dengan ada berpendapat bahawa gaji yang ditawarkan lebih tinggi daripada pekerjaan dalam sektor korporat.
Sebilangan lagi netizen berkata, kos sara hidup tinggi di Singapura menyebabkan gaji ditawarkan itu berpatutan.
“Inilah contoh majikan yang bagus dan mengamgbil berat pekerja,” kata seorang pengguna media sosial.
“Gaji ini lebih tinggi daripada bekerja dalam sektor korporat,” kata netizen lain.