Peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili ‘Abang bas’, memaklumkan bahawa keluarga tertuduh akan m
engambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu, termasuk selebriti, yang telah menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap anak guamnya.
Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan menasihatkan
agar permohonan maaf segera dibuat kepada keluarga serta tertuduh sebelum tindakan saman diteruskan.
“Pasti saya akan terus menjadi peguam probono untuk tertuduh. Kepada sesiapa yang ingin meminta maaf,
minta maaf cepat sebelum kita bawa ke mahkamah. Semua orang ingin menunjukkan kepandaian masing-masing,” katanya.
“Kami telah mengenal pasti ramai individu. Kepada ‘haters’ yang membuat komen, saya cadangkan pecahkan tabung-tabung yang ada, kira siap-siap duit untuk memudahkan kerja kami (saman),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar, hari ini.
Beliau juga tidak menafikan bahawa selebriti turut terlibat dalam isu ini. “Mengapa tidak? Sesiapa saja yang terlibat. Selama lima atau enam hari ini, tertuduh dihentam seperti tiada nilai, seolah-olah dia tidak mempunyai waris. Ini sangat tidak adil. Undang-undang yang ada sudah sangat jelas,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa mereka akan membuat permohonan dalam masa terdekat dan semua afidavit telah disiapkan untuk ditandatangani. “Saya berjanji untuk membawa dia pulang ke pangkuan keluarganya.”
“Kita perlu melihat keseluruhan perspektif. Apabila ada yang menuduh dia sebagai pedofilia, itu tidak adil. Ramai yang tidak mengenalinya, tetapi tiba-tiba mahu berlagak pandai. Yang paling mengecewakan ialah dia berada dalam situasi di mana dia tidak dapat mempertahankan dirinya,” ujar Ahmad Zaharil.
BACA: 2 beradik angkat terkejut rupanya mereka adik beradik, semuanya terbongkar lepas balik dari hospital