Kapasiti air yang semakin menyusut di Empangan Pedu hari ini dianggap sebagai rahmat bagi sebahagian penduduk tempatan,
kerana mereka berpeluang mengunjungi kawasan Kampung Mong Gajah di empangan itu, yang telah menjadi daratan sejak lebih sebulan lalu.
Ini kerana kawasan empangan tersebut dahulunya adalah sebuah perkampungan, di mana penduduknya diarahkan keluar pada tahun 1974
untuk ditenggelamkan bagi pembinaan empangan, termasuk kawasan perkuburan nenek moyang mereka.
Empangan Pedu surut, penduduk dapat ziarah kubur keluarga 4 tahun sekali
Menurut rekod di laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini, paras air di Empangan Pedu telah menyusut hingga tinggal 35.47 peratus, namun ia masih disifatkan berada pada tahap normal.
Bagi Zainol Awang, 58, seorang penduduk asal kampung tersebut, beliau mengambil kesempatan ini untuk menziarahi kubur arwah bapanya yang disemadikan di kampung itu.
Katanya, dia turut membawa anak dan cucunya melawat kubur datuk serta moyang mereka.
“Kami tidak dapat menziarahi pusara ahli keluarga setiap tahun seperti orang lain kerana kawasan ini sentiasa ditenggelami air. Sebaliknya, kami perlu menunggu sehingga kawasan ini kering, yang selalunya berlaku setiap empat tahun sekali.
“Pada tahun 2020, ketika negara dilanda fenomena El Niño, kami dapat menjejakkan kaki di kawasan kubur ini. Hari ini keadaan hampir sama, kami dapat menaiki motosikal terus ke kawasan kubur, dan bersyukur kerana masih berpeluang menziarahi pusara bapa serta nenek moyang di sini,” katanya yang tinggal di Kampung Mani, Kuala Nerang.
Sebelum ini, Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dilaporkan telah membina pagar di kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar itu pada tahun 2006 bagi memastikan ia terpelihara, terutama ketika air tasik kering.
Isnin lalu, media melaporkan bahawa sumber bekalan air negeri akan berada dalam keadaan kritikal jika takungan Empangan Pedu mencapai paras bawah 15 peratus.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh, bagaimanapun berkata bahawa pada masa ini orang ramai tidak perlu panik mengenai paras takungan air di Empangan Pedu, kerana ia masih berada pada tahap normal. Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya tidak bercadang untuk memohon operasi pembenihan awan, kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan taburan hujan akan meningkat pada Ogos, September, dan Oktober ini.
Arman Che Ya, 43, pula berkata bahawa kehadiran orang ramai ke Kampung Mong Gajah di dalam kawasan empangan itu adalah untuk menziarahi tanah perkuburan yang dipercayai berusia 100 tahun. Tanahnya kini semakin kering berbanding minggu lalu, walaupun masih lembik.
“Hampir setiap hari saya akan ke sini, tetapi hari ini sempena cuti sekolah, orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang membawa keluarga mereka untuk melihat sendiri keadaan kampung yang sebelum ini tenggelam dalam empangan, tetapi kini menjadi daratan kerana air surut.
“Sejak petang semalam, kawasan itu dibanjiri orang ramai yang datang membawa anak untuk melihat pemandangan indah dan menziarahi kubur nenek moyang mereka di sini. Malah, batu nisan masih ada,” katanya yang juga seorang pesara tentera.
Baca Juga: Kronologi kes Cikgu Istiqomah sejak hari dilapor hilang sehingga dijumpai tak bernyawa