Elak sekatan pihak berkuasa, tindakan pemandu lori buat 5 kampung terjejas

Oleh FAHMI ABBAS

Jambatan berkenaan ditutup dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan sehingga dibaikpulih, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lima kampung terjejas akibat tindakan seorang pemandu lori yang menggunakan jambatan Kampung Nyor Kembar

untuk mengelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR). Jambatan itu runtuh kerana lori berkenaan terlalu berat.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.20 petang semalam, seorang pemandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai

cuba mengelak SJR di Kampung Padang Melintang sebelum memasuki laluan tikus yang mengarah ke jambatan tersebut.

Elak sekatan pihak berkuasa, tindakan pemandu lori buat 5 kampung terjejas

Lori yang membawa muatan batu dan pasir tersebut menyebabkan jambatan itu runtuh kerana melebihi ketinggian dan had muatan yang dibenarkan. Penghulu Mukim Tanjung Jering, Mohamed Nasir Yusoff,

berkata jambatan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan yang ketinggiannya tidak melebihi 2.5 meter dan had muatan satu tan sahaja.

Menurut Mohamed Nasir, pemandu lori tersebut dipercayai membawa lebih 10 tan muatan dan tetap cuba melintas jambatan tersebut, menyebabkan jambatan berusia lebih 30 tahun itu runtuh.

Jambatan itu merupakan laluan utama ke Kampung Tanjung Jering, Tanjung Jenera, Pengkalan Stol, Sri Sentosa, Gong Mundu, dan Nyor Kembar, menyebabkan kesemua kampung ini terputus hubungan dengan jalan besar.

“Selain itu, tiga kampung, iaitu Tanjung Jering, Sri Sentosa, dan Nyor Kembar turut terjejas kerana paip air di bawah jambatan pecah. Paip ini merupakan sumber utama bekalan air untuk ketiga-tiga kampung tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohamed Nasir berkata, jambatan itu adalah laluan utama penduduk untuk ke jalan besar, Pasar Beris Kubur Besar, atau Masjid Mukim Tanjung Jering. Akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemandu lori, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif yang mengambil masa lebih 20 minit, berbanding hanya 10 minit melalui jambatan yang jaraknya hanya 1.5 kilometer.

Abdullah Zakaria, 59, dari Kampung Sri Sentosa, terpaksa membeli bekalan air selepas terputus bekalan sejak petang semalam. Beliau menyatakan keadaan tersebut menyukarkan beliau dan enam ahli keluarga lain, yang terpaksa mandi di masjid.

“Saya harap keadaan ini dapat diperbaiki segera kerana sukar untuk kami mendapatkan bekalan air tambahan, terutama dengan sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan hari ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu lori tersebut selamat dalam insiden itu.

Beliau memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati lesen dan semua dokumen perjalanan pemandu lori adalah sah dan tidak melanggar undang-undang, serta pemandu tersebut tidak mempunyai rekod jenayah.

“Lori tersebut berjaya dialihkan pada jam 8 malam dan kami sedang menyiasat mengapa pemandu lori tersebut melalui jambatan itu,” katanya.

BACA: Bapa tergamak ikat pada kayu dan lumur madu pada badan, undang lebah datang menyengat