“Eh! Kenapa duit yang saya simpan takde? Tak mungkin salah letak sebab memang kat sini je saya simpan duit.
Jumlah bukan sikit dan duit tu untuk kenduri tahlil arwah ibu nanti, rupanya..”
BERKALI-KALI Suraya dan suaminya, Razali menafikan perasaan gerun yang menyelubungi diri setiap kali mereka melangkah masuk ke dalam rumah yang baru diduduki dua bulan lalu.
Paling menyeramkan apabila berada di dalam bilik tidur, terasa seperti tingkah laku diperhatikan dan kadang kala merinding bulu roma.
Suraya sekali lagi bertanyakan pada suaminya sama ada sudah ‘membersihkan’ rumah dengan betul atau tidak sebelum mereka sekeluarga berpindah masuk.
“Rasa seram kalau duduk di bilik… awak betul-betul ‘bersihkan’ rumah ke? Lagipun rumah ni pernah ditinggal kosong sebelum kita pindah masuk,” ajunya sambil menyelongkar almari pakaian.
Tingkah lakunya yang pelik seolah-olah barang yang dicari tiba-tiba hilang membuatkan Razali terus duduk bersebelahan untuk membantu mencari.
“Eh! Kenapa duit yang saya simpan di sini tidak ada? Tak mungkin saya salah letak sebab memang kat sini saja saya simpan duit.
“Jumlah bukan sikit dan duit tu untuk kenduri tahlil arwah ibu nanti,” kata Suraya yang runsing.
Selepas habis semua beg yang ada di bilik itu diselongkar, Suraya terus pasrah kerana duit yang disimpan tidak dijumpai.
Dia yang mula mengesyaki kemungkinan terdapat gangguan makhluk halus terus mengambil segenggam kacang hijau di dapur.
Tanpa berlengah, kesemua kacang hijau dicampak ke setiap penjuru rumah dan bilik tidurnya.
Razali hanya memandang kosong kerana sudah mengantuk, iyalah jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
Keesokan paginya dia tersedar selepas mendengar jeritan Suraya dari ruang tamu rumah.
“Siapa susun kacang hijau ni,” soal Suraya ketakutan.
Teringat insiden sama yang berlaku pada rakannya, Razali terus meluru ke dapur dan mengambil garam kasar.
Dia kemudian membaca ayat suci al-Quran sebelum mencampakkan garam kasar pada penjuru tersebut sambil mengalunkan azan.
Kedua-dua mereka kemudian dikejutkan dengan keadaan kacang hijau yang kembali bertaburan.
Suasana ruang tamu juga tiba-tiba menyeramkan.
Keadaan yang berlaku itu membuatkan Suraya terfikir sama ada keguguran yang dialaminya bulan lalu berkaitan dengan gangguan makhluk halus seperti toyol.
“Awak, kita kena panggil ustaz untuk tengok keadaan rumah ni… mungkin ada gangguan dan saya gugur hari tu pun ada kaitan juga,” luahnya kepada Razali.
BACA:
Bayi masih bertali pusat dijumpai atas lantai kedai jual ayam di Terengganu