Air selusuh merupakan amalan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, terutama bagi mempercepatkan proses kelahiran.
Ia lazimnya diberikan kepada ibu hamil yang sudah menunjukkan tanda-tanda bersalin atau sedang mengalami kontraksi.
Namun, penggunaan yang salah boleh mendatangkan risiko kepada ibu dan bayi.
Risiko Penggunaan Air Selusuh dengan Campuran Herba
Seorang wanita, @huwaidahathirah, berkongsi pengalaman menggunakan air selusuh ketika melahirkan dua anaknya. Menurutnya:
“Ramai yang ingat okay, tak apa. Tapi tahu tak, bahaya sebenarnya datang dari air selusuh yang dicampur dengan akar kayu seperti akar Fatimah atau herba lain yang merangsang hormon oksitosin.”
Beliau menjelaskan, jika kontraksi berlaku sebelum saluran kelahiran terbuka sepenuhnya, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti bayi meninggal dalam kandungan atau memerlukan pembedahan kecemasan.
Panduan Membuat Air Selusuh yang Selamat
Huwaidah turut menyarankan kaedah selamat untuk menyediakan air selusuh:
Gunakan hanya air kosong.
Bacakan ayat suci al-Quran dengan niat untuk mempermudahkan proses kelahiran.
Perspektif Perubatan
Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, turut mengulas mengenai risiko air selusuh dengan campuran herba. Menurut beliau:
Komplikasi Kecemasan
Wanita yang sudah memasuki fasa aktif bersalin digalakkan berpuasa sebagai persediaan untuk pembedahan jika perlu.
Pengambilan air selusuh boleh meningkatkan risiko komplikasi kerana memaksa kontraksi.
Rangsangan Pramatang
Campuran herba seperti akar Fatimah boleh memaksa pintu rahim terbuka sebelum waktunya, menyebabkan kesakitan yang melampau dan ibu tidak keruan.
Risiko kepada Bayi
Kontraksi yang terlalu kerap akibat air selusuh boleh mengganggu peredaran darah bayi, menyebabkan risiko bayi lemas.
Dr. Muhammad Izzat menegaskan, air selusuh yang hanya menggunakan air kosong dan bacaan ayat al-Quran tidak mendatangkan masalah.
Namun, penggunaan campuran herba atau bahan yang tidak diketahui kandungannya adalah tidak digalakkan demi keselamatan ibu dan bayi.
Kesimpulan:
Amalan tradisional seperti air selusuh harus dilakukan dengan pengetahuan yang betul. Elakkan penggunaan bahan campuran yang boleh membahayakan dan rujuklah kepada pakar perubatan jika terdapat keraguan.
BACA: